KEPULAN asap kelihatan di Bandaraya Gaza berikutan serangan tentera rejim zionis Israel. FOTO Reuters
KEPULAN asap kelihatan di Bandaraya Gaza berikutan serangan tentera rejim zionis Israel. FOTO Reuters
Bernama-Anadolu

Bandaraya Gaza: Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada Selasa berkata konvoi kemanusiaannya ditembak di Bandar Gaza.

"ICRC menegaskan pihak-pihak yang terbabit perlu mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk menghormati dan melindungi petugas kemanusiaan pada setiap masa," Agensi Anadolu memetik kenyataan pertubuhan itu.

Konvoi yang terdiri daripada lima trak dan dua kenderaan ICRC dilaporkan sedang mengangkut bekalan perubatan ke kemudahan kesihatan, termasuk Hospital Al Quds Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin semasa ia diserang.

Dalam kejadian itu, dua trak rosak dan seorang pemandu mengalami cedera ringan.

Ketua delegasi ICRC di Gaza, William Schomburg berkata, situasi berkenaan tidak menyediakan persekitaran yang selamat bagi kakitangan kemanusiaan meneruskan tugas mereka.

"Kehadiran kami di sini adalah untuk membawa bantuan segera kepada orang awam yang memerlukan.

"Memastikan bantuan penting sampai ke kemudahan perubatan adalah satu kewajipan undang-undang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 1:44 PM