Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Skuad Terengganu bingung apabila penyerang utamanya yang sebelum ini digantung tiga bulan, Paulo Rangel mencetus huru-hara terbaru apabila memohon dilepaskan daripada pasukan.

Lebih mengecewakan skuad Peteh, penyerang berasal dari Brazil itu dilihat sengaja mencipta alasan cedera dan memohon untuk pulang ke negaranya bagi menjalani rawatan kecederaan yang dialami sebaik menerima gaji bulan ini.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman berkata, penjaring terbanyak musim lalu itu ada berbincang dengan pihak pengurusan PBSNT untuk minta dilepaskan kerana mendakwa mempunyai masalah keluarga.

“Rangel ada memohon dengan PBSNT untuk dilepaskan tetapi selepas berbincang dan meminta pemain itu tebus kontrak dalam jumlah tertentu, dia enggan dan hanya memohon untuk pulang ke negara asalnya selama sebulan bagi menjalani rawatan pahanya yang cedera.

“PBSNT tidak menghadapi masalah dan membenarkan permohonan pemain itu tetapi dengan syarat dia perlu pulang semula ke Terengganu selepas tamat tempoh berkenaan.

“Sekiranya bekas pemain Selangor itu tidak menepati janji, PBSNT tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadapnya,” katanya.

Sebelum ini, penjaring terbanyak skuad Peteh itu digantung selama tiga bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas didapati bertindak kasar terhadap pengadil ketika pertemuan separuh akhir kedua Piala FA bertemu LionsXII.

Lebih malang lagi apabila dia juga perlu menjalani hukuman tambahan tiga bulan lagi sekiranya masih melakukan masalah disiplin.

Mengulas lebih lanjut, Arpin berkata sekiranya Rangel tidak lagi berminat untuk menyarung jersi pasukan Peteh untuk musim depan, dia harus membayar wang pampasan.

Ketika ditanya sama ada Rangel ada berhubung dengan pengurusan pasukan lain musim depan, beliau mendakwa tidak tahu menahu dengan perkara itu.

“Tetapi sekiranya perkara itu benar, mana-mana pasukan ataupun kelab yang berhajat untuk mengambilnya, kita akan minta wang pampasan sebanyak RM2 juta kerana pemain itu masih berbaki kontrak sehingga musim depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:06 AM