Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Paulo Rangel berminat menyarung jersi Terengganu!

Itu pengesahan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman berhubung spekulasi penjaring terbanyak Liga Super itu akan menyertai skuad Penyu musim depan.

Menurutnya, pihaknya menunggu penuh sabar keputusan Rangel yang dikatakan menolak hasrat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk melunaskan bayaran penuh kepadanya hujung bulan ini.

Rangel bertegas bayaran itu perlu diselesaikan hari ini atau kontraknya bersama skuad Merah Kuning dibatalkan.

“Kami akan tunggu dan lihat kesudahan antara Rangel dengan majikannya. Kami tidak mahu campur tangan dan biar mereka selesaikan masalah itu lebih dulu.

“Tapi, jika Rangel bertekad membatalkan kontrak, kami sedia mengambilnya jika harganya berpatutan,” katanya.

Semalam, Arena melaporkan Terengganu kini menunggu peluang keemasan untuk menyambar pemain kelahiran Belem, Brazil itu selepas menimbulkan kontroversi dengan mendakwa FAS tidak mematuhi janji kerana masih belum menjelaskan bayaran tertunggak RM200,000.

Skuad Penyu mahu mengambil kesempatan mendapatkan penyerang berusia 29 tahun itu menyertai Terengganu sekiranya dia bertekad mahu meninggalkan Selangor.

Rangel memberi kata dua kepada FAS supaya menjelaskan baki tunggakan itu hari ini jika tidak mahu kontrak dua tahun hingga 2016 yang ditandatanganinya Ogos lalu, dibatalkan.

Mengulas lanjut, Arpin berkata, buat masa sekarang PBSNT hanya mengambil sikap menunggu saja dan tidak boleh membuat tindakan sebarangan kerana sedar penyerang itu masih pemain Selangor yang sah.

“Apa yang boleh saya katakan, kami sudah mengadakan rundingan awal dengan ejen pemain itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:05 AM