Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: “Saya datang ke sini (Terengganu) untuk bermain bola sepak dan pastinya akan memberikan yang terbaik.

“Malah, peluang bersama pasukan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membuktikan kemampuan saya.

“Sudah tentu saya akan memberikan aksi terbaik bersama Terengganu dengan meletakkan sasaran mengulangi kejayaan sebagai penjaring terbanyak seperti dibuktikan ketika bersama Selangor musim ini,” kata Paulo Rangel.

Penjaring terbanyak Liga Super musim ini menamatkan spekulasi perpindahan apabila menandatangani kontrak dua tahun bersama Terengganu untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Malah, bekas penyerang Selangor itu mengakui amat teruja dapat beraksi bersama Terengganu kerana menganggap pasukan barunya itu bukan saja memiliki ramai pemain tempatan dan import berkualiti, malah antara pasukan terhebat di negara ini.

Pemain berusia 29 tahun kelahiran Brazil itu berkata, apa yang penting masih berpeluang beraksi dalam kempen Liga M musim depan dan berharap penyokong Terengganu dapat memberikan sokongan padu.

“Saya cukup gembira kerana Terengganu memberi peluang saya menyertai pasukan ini. Saya sudah beberapa kali bermain menentang Terengganu dan pasukan ini antara pencabar utama Liga M.

“Justeru, saya akan berusaha pamer aksi terbaik dan memberi kerjasama penuh kepada rakan sepasukan bagi memastikan Penyu lebih garang musim depan,” katanya.

Beliau ditemui Arena selepas menandatangani kontrak dua tahun sehingga 2016 dengan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman di Pejabat PBSNT, di sini, semalam.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan Terengganu mahu mengambil kesempatan bagi mendapatkan penyerang itu untuk menyertai skuad Penyu musim depan sekiranya Rangel bertekad mahu meninggalkan Selangor.

Kontroversi mula tercetus apabila Rangel menerusi laman sosial Instagram miliknya menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 6:18 AM