Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Terengganu akan menurunkan senjata baru Issey Morgan Nakajima Farran ketika membuat perhitungan dengan pasukan jiran Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Pemain berusia 30 tahun yang pernah beraksi bersama Crystal Palace dalam Liga Perdana Inggeris itu dijangka bergandingan dengan kapten Ahmad Nordin Alias, Mohd Ashari Samsuddin dan pemain dari Argentina Gustavo Lopez.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman berkata, pemain yang mendapat kerakyatan Jepun dan mengisi kuota pemain import Asia itu akan diturunkan jika mendapat kelulusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Semua dokumen termasuk laporan perubatan sudah selesai dan kini hanya menunggu borang pelepasan pemain daripada FAM dan kami yakin perkara itu boleh diselesaikan hari ini (semalam),” katanya.

Bagaimanapun, Arpin menyatakan skuad Penyu dilanda sedikit keresahan apabila penjaring terbanyak musim lalu Paulo Rangel mengalami kecederaan ketika sesi latihan.

“Kecederaan Rangel bagaimanapun tidak begitu serius dan kami harap dia mampu mengetuai barisan serangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain PBSNT tidak berhasrat menaikkan harga tiket yang kekal RM15 bagi tempat duduk biasa dan RM25 berbumbung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:23 AM