Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu menuntut penyerang utama Paulo Rangel membuktikan sentuhannya masih berbisa bagi memastikan hajat ke suku akhir Piala Malaysia tercapai.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, selepas kembali daripada digantung tiga bulan, khidmat penyerang berasal dari Brazil itu amat ditagih bagi memburu kemenangan pada baki tiga perlawanan peringkat kumpulan.

“Rangel cukup bagus ketika bertemu LionsXII apabila menjaringkan dua gol walaupun belum cukup untuk membantu kami menang.

“Justeru, dia perlu meningkatkan prestasinya untuk membantu pasukan melepasi peringkat kumpulan selain membuktikan kehebatannya sebagai penyerang utama,” katanya.

Penjaring terbanyak Liga Super sewaktu mewakili Selangor musim lalu, menjadi sandaran skuad Peteh Terengganu Peteh ketika bertemu Johor Darul Ta’zim II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang Johor, esok.

Sekiranya skuad bimbingan Ahmad Yusoff itu yang kini menghuni tangga terbawah Kumpulan A tewas bermakna peluang pasukan itu untuk mara ke suku akhir hampir tertutup.

Wan Ahmad Nizam berkata, sebelum aksi esok, pihak pengurusan akan memberikan motivasi kepada pemain untuk menyuntik semangat mereka.

“Peluang kami masih terbuka justeru pemain harus memanfaatkan tiga perlawanan terakhir sebaik mungkin biarpun baru mengutip satu mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 6:16 AM