Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pemain bek kanan Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Aidil Zafuan Abd Radzak menyifatkan penampilan kali kedua bersama skuad itu selepas pulih daripada kecederaan amat berbaloi.

Ini berikutan dia menjadi pencetus kebangkitan skuad Harimau Selatan apabila meledak gol selepas pasukan sukar merobek gawang skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim untuk membantu Johor DT menang 2-0 ke atas Terengganu pada aksi Liga Super, di Stadium Larkin, kelmarin.

“Mungkin rezeki saya dan saya sendiri tidak sangka menjaringkan gol malah menyifatkan permulaan yang baik selepas pulih daripada kecederaan.

“Ia juga memberi semangat kepada saya untuk beraksi lebih konsisten ketika sudah mendahului Terengganu 1-0 kerana misi utama adalah memburu tiga mata dan mengelak daripada rekod tanpa kalah di laman sendiri tercalar.

“Saya mahu terus kekal dalam kesebelasan utama namun semua bergantung kepada perancangan ketua jurulatih, Mario Gomez dan saya perlu bekerja lebih keras lagi,” katanya.

Aidil Zafuan tidak menafikan aksi awal Johor DT tampak goyah sambil menyaksikan lawan agak selesa merencana pergerakan.

Beliau menambah prestasi tidak konsisten itu turut menghantui Johor DT Sabtu lalu dan ia terbawa-bawa pada perlawanan di laman sendiri, kelmarin.

Apapun dia menyifatkan ia bersifat sementara kerana pemain kepenatan apabila beraksi pada bulan Ramadan yang menjejaskan rentak permainan.

“Bukan mudah beraksi pada bulan puasa tetapi kita perlu konsisten untuk mengelak daripada kekalahan memandangkan kita semakin hampir dengan pendahulu liga, Pahang dan peluang cukup terbuka untuk melonjak ke tangga teratas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:39 AM