AIDIL (kanan) bersama Gomez ketika sidang media saingan kumpulan Piala AFC di Hotel Thistle, Johor Bahru, semalam.
AIDIL (kanan) bersama Gomez ketika sidang media saingan kumpulan Piala AFC di Hotel Thistle, Johor Bahru, semalam.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Aidil Zafuan Abd Radzak mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak mengambil mudah pertembungan menentang Lao Toyota FC pada aksi Kumpulan H Piala AFC di Stadium Larkin, malam ini.

Dia menyifatkan kelab dari Laos itu mampu menidakkan hasrat Johor DT memburu kemenangan seandainya pemain Harimau Selatan hilang tumpuan dan gagal beraksi konsisten pada perlawanan itu.

“Saya tidak risaukan pasukan lawan sebaliknya lebih kepada persembahan kami sendiri. Jika kami gagal berikan aksi terbaik pasukan lawan boleh ambil kesempatan.

“Sepanjang beberapa aksi lalu termasuk Liga Super dan Piala AFC, kesemua pemain menunjukkan prestasi membanggakan dan ia harus dikekalkan.

“Selalunya pada awal permainan, kami akan mengamati dulu corak lawan sebelum ia meningkat apabila mula menguasai perlawanan dan mengambil kesempatan menerusi gerakan menarik untuk menjaringkan gol,” kata Aidil Zafuan.

Dia juga menegaskan pemain Johor DT perlu tenang pada awal perlawanan dan mengelak daripada gopoh kerana boleh menyebabkan taktikal dirancang ketua jurulatih, Mario Gomez terjejas.

Dalam pada itu kapten Lao Toyota Paseuthsack Souliyavong mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak terlalu menghormati Johor DT yang berstatus juara bertahan.

Pemain berusia 25 tahun itu tetap optimis mampu melakar kejutan dengan pasukannya turut dibarisi hampir 12 pemain kebangsaan Laos dan percaya mampu beri tentangan sengit.

“Tidak dinafikan Johor DT pasukan terbaik selepas menjuarai Piala AFC tahun lalu, namun kami tidak boleh menyerah kalah sebaliknya akan beri tentangan sengit sepanjang perlawanan.

“Kami sudah membuat persediaan rapi untuk menentang Johor DT. Ketua jurulatih, Phomphakdy Valakong juga sudah memperbaiki apa jua kelemahan selepas kami tewas 2-4 kepada Ayeyawady United, baru-baru ini,” kata Souliyavong.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 6:55 AM