ANTONIO (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Pahang pada aksi Piala Sumbangsih.
ANTONIO (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Pahang pada aksi Piala Sumbangsih.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Misi Johor Darul Ta’zim (Johor DT) untuk meleraikan badi tanpa kemenangan ke atas Pahang akhirnya membuahkan hasil selepas menang 2-0 pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Larkin, kelmarin.

Dua gol pada babak pertama dan kedua menerusi tandukan dua pemain import Johor DT, Marcos Antonio pada minit ke-37 dan Luciano Figueroa pada minit ke-58 memastikan skuad Harimau Selatan memulakan kempen Liga Malaysia (Liga M) dengan langkah kanan.

Malah, pengendali Johor DT Bojan Hodak puas hati dengan kualiti permainan kesebelasan utama skuad itu yang berjaya menguasai perlawanan tanpa memberi ruang kepada Pahang untuk cuba mendekati gawang.

“Amat lega dengan kemenangan itu, malah saya berasa bangga dengan kesungguhan pemain Johor DT walaupun masih ada kelemahan apabila gagal mencipta jaringan ketika memiliki peluang terhidang.

“Mahali Jasuli beraksi dengan baik, tapi dia agak gopoh untuk melakukan sentuhan terakhir dan saya akan memperkemaskan lagi corak permainannya selepas ini dan yakin dia akan lebih mantap.

“Kombinasi di posisi tengah gandingan Safiq Rahim, Hariss Harun dan Shakir Shaari memainkan peranan untuk menguasai perlawanan dan mereka berjaya menyekat penguasaan barisan tengah Pahang,” katanya.

Pada aksi itu, Hodak terpaksa membuat rombakan saat akhir dengan membentuk formasi 4-3-3 selepas Aidil Zafuan Abd Radzak tidak dapat diturunkan akibat kecederaan lutut dan tempatnya diganti S Kunanlan.

Persembahan Kunanlan yang berjaya mengekang pergerakan R Gopinanthan dipuji Hodak dan pemain kebangsaan itu beraksi konsisten sepanjang 90 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 5:54 AM