Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) Aidil Zafuan Abd Radzak (gambar) lebih berminat untuk menyiapkan diri berdepan Terengganu pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam esok berbanding memikirkan kejuaraan liga.

Malah katanya, perlawanan yang Johor DT perlu harungi untuk 90 minit malam esok dianggap getir kerana ia akan membantu pasukan untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu dan jika ia terlaksana sudah pasti kejuaraan liga menjadi milik Harimau Selatan yang pasti mencipta sejarah selaku kelab pertama melakar hatrik selaku juara liga.

Dia juga tidak menolak kemungkinan skuad Terengganu kendalian Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor bakal tampil lebih agresif malah mereka tidak akan sesekali menganggap pasukan itu lemah walaupun menghuni kelompok bawahan liga memandangkan lawan dibarisi pemain mantap yang mampu menggugat tuan rumah.

“Ketepikan dulu soal kejuaraan liga sebaliknya kami kena fokus pada perlawanan menentang Terengganu dan biar kami harungi 90 minit aksi untuk memburu kemenangan dan dari situ baru menjadi penentu sama ada kejuaraan liga milik Johor DT atau tidak.

“Walaupun kelebihan memihak kepada kami yang beraksi di laman sendiri namun saya dan rakan sepasukan tidak boleh alpa dibuai keinginan merangkul kejuaraan sebaliknya kami harus berwaspada dan mengelak melakukan kesilapan mudah sehingga meranapkan pemburuan tiga mata.

“Selepas diberi rehat selama seminggu, kami kembali menyambung latihan dengan lebih bersungguh-sungguh kerana kami perlu mengharungi dua aksi berbeza iaitu menentang Terengganu dan seterusnya beraksi pada saingan suku akhir Piala AFC di Hong Kong, 13 September ini,” katanya.

Aidil Zafuan juga menyifatkan kesilapan ketika menentang FELDA United selepas agak selesa mendahului 2-0 namun memberi ruang kepada lawan bangkit menyamakan jaringan tidak harus berulang apabila berdepan skuad Penyu.

Katanya, kesilapan itu memberi pengajaran berguna buat dirinya dan rakan sepasukan supaya tidak mengulangi apa yang berlaku kerana ia mungkin boleh mengundang kerugian buat pasukan malah kelicikan pemain Terengganu juga harus diawasi bagi mengelak percubaan berbahaya.

“Kita tidak boleh anggap Terengganu pasukan lemah sebaliknya mereka dibarisi pemain hebat dan setiap pasukan yang menentang Johor DT akan beraksi bermati-matian untuk mencari kemenangan dan kami tidak boleh terlalu selesa walaupun bermain di laman sendiri,” kata Aidil Zafuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 8:36 AM