Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Selepas pulih daripada kecederaan, pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Aidil Zafuan Abd Radzak bertekad untuk kembali merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Kecederaan lutut yang dialami sejak dua bulan lalu mengakibatkan dia terlepas beraksi sepanjang saingan Liga Super dan keadaan itu pantas mengundang rasa terkilan buat bekas kapten skuad Harimau Malaya berkenaan.

Dalam usahanya untuk mencuri tumpuan pengendali Harimau Selatan, Aidil giat menjalani latihan bagi mendapatkan semula tahap kecergasannya.

“Saya sudah menjalani latihan di padang bersama rakan sepasukan selepas bertungkus-lumus berlatih untuk memulihkan kecederaan yang dialami di bawah pengawasan pegawai fisioterapi.

“Latihan tertumpu kepada mendapat tahap kecergasan 100 peratus kerana buat masa ini saya masih belum mencapai tahap itu, namun saya yakin tidak bermasalah untuk cergas sepenuhnya.

“Malah, saya juga perlu mendapat keyakinan diri kerana sudah dua bulan tidak beraksi. Saya mahu memberi sumbangan terbaik kepada pasukan apabila diturunkan nanti,” katanya.

Apapun, Aidil mengakui dia akur dengan keputusan jurulatih Bojan Hodak sama ada mahu menurunkannya atau tidak pada aksi menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Larkin, Sabtu ini.

Katanya, perancangan taktikal pasti dilakukan Hodak dan dia harus menyiapkan diri terlebih dulu untuk berada dalam keadaan cergas dari aspek mental dan fizikal bagi memastikan corak permainan Johor DT tidak terjejas.

Tanpa kelibat Aidil sejak saingan liga bermula, Hodak sering menggunakan khidmat S Kunanlan, Mohd Amer Saidin dan Daudsu Jamaluddin, malah ia bergantung kepada perancangan taktikal pengendali dari Croatia itu.

“Saya perlu berada dalam keadaan terbaik jika mahu kembali di posisi bek kanan dan apa juga keputusan terserah kepada jurulatih untuk membentuk kesebelasan yang mantap apabila saingan liga bersambung, Sabtu ini.

“Kami tidak boleh tewas lagi kerana jika terus tercicir mata pasti menyukarkan lagi peluang memburu tangga teratas dan kesempatan untuk mencipta kemenangan harus diambil tatkala perbezaan mata antara pasukan kelompok teratas tidak jauh,” kata Aidil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:14 AM