PEMAIN Johor DT tak gentar kebangkitan Terengganu.
PEMAIN Johor DT tak gentar kebangkitan Terengganu.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Walaupun tampak masih kekok beraksi di posisi bek kanan, ia bukan penghalang buat kapten Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Aidil Zafuan Abd Radzak mempamerkan aksi terbaik pada suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Ternyata aksi suku akhir pertama berkesudahan seri 0-0 bagaikan memberi motivasi kepada Aidil untuk mempamerkan persembahan lebih bertenaga bagi menghalang gerakan berbahaya skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim.

Apapun pengalaman pada aksi Liga Super apabila Harimau Selatan menang 4-3 dijadikan iktibar selepas Terengganu terlebih dulu bermula garang selepas mendahului 2-0 sebelum kemenangan dicipta menerusi hatrik Jorge Pereyra Diaz dan jaringan Mahali Jasuli.

"Pengalaman pada saingan liga sudah cukup memberi pengajaran kepada saya serta rakan sepasukan supaya memastikan senario itu tidak berulang kerana kami mahukan kemenangan untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

"Selepas beraksi dalam beberapa perlawanan di posisi itu, saya masih lagi kekok namun ia bukan penghalang untuk memantapkan lagi persembahan ketika berdepan Terengganu dan saya yakin mampu mempamerkan corak permainan lebih konsisten.

"Malah kerjasama rakan sepasukan amat ditagih bagi memastikan kami beraksi dalam satu unit tanpa ada sebarang kesilapan yang dilakukan memandangkan ia perlawanan hidup dan mati buat Johor DT," katanya.

Aidil membayangkan kelibat Ashaari Shamsudin, Abdul Manaf Mamat dan Ismail Faruqi cukup berbahaya dan jika pergerakan ketiga-tiga pemain itu tidak diawasi, pasti boleh mengancam kubu Harimau Selatan.

Dia menegaskan, pada suku akhir pertama di tempat lawan, barisan serangan Terengganu cuba mengambil kesempatan untuk menewaskannya menerusi gerakan di posisinya.

"Saya akan kekalkan momentum permainan seperti aksi suku akhir pertama malah berusaha untuk beraksi lebih mantap bagi memastikan kemenangan memihak Johor DT dan berakhir 90 minit tanpa memerlukan masa tambahan," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:01 AM