Chef de Mission kontinjen negara ke Sukan SEA Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tidak mahu isu sasaran emas di temasya edisi ke-28 itu terus dibangkitkan selepas mereka berjaya melaksanakan misi dengan cemerlang.

Katanya, selepas atlet dan pegawai mengharungi saingan getir sepanjang kejohanan berlangsung, ini masanya untuk meraikan kejayaan sebelum kembali fokus kepada tugas lebih mencabar dua tahun lagi sebagai tuan rumah.

“Bukan saya cakap tak perlu (umumkan sasaran emas selepas tamat Sukan SEA), cuma lebih baik kita raikanlah kejayaan ini,” kata beliau yang ditemui selepas sidang media prestasi kontinjen negara semalam.

“Bila kita buat perbandingan secara terperinci, pencapaian ini adalah terbaik di luar Kuala Lumpur, lebih baik dari Korat (2007) kalau melihat sukan yang disertai.”

Sukan SEA yang melabuhkan tirai secara rasmi semalam menyaksikan Malaysia mengutip 62 emas, 58 perak dan 66 gangsa dengan peratusan 56.5 peratus pingat hasil 186 pingat keseluruhan.

Ia melepasi sasaran peratusan pingat sebanyak 54 peratus seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas mereka mengambil pendekatan berbeza, tidak mahu menetapkan sasaran jumlah emas kali ini.

Namun, pada sidang media kelmarin Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail secara tiba-tiba mengumumkan bahawa mereka sebelum ini meletakkan sasaran 48 emas, 44 perak dan 92 gangsa manakala Norza pula 50 emas.

Ada pihak mempersoalkan adakah sasaran itu akan diumumkan jika kontinjen negara gagal meraih pingat seperti yang diharapkan.

“Saya sudah bercakap mengenai sasaran lebih kurang 50 emas pada awalnya, tapi kemudian selepas perbincangan pihak kementerian baru kata Sukan SEA kali ini untuk pembangunan. Kerana itu mereka menetapkan 56 peratus pingat keseluruhan.

“Sasaran 56 peratus pingat iaitu 188 pingat keseluruhan itu betul kerana ia mengikut acara yang kita sertai pada awalnya, namun selepas itu ada beberapa acara kita tarik diri jadi sasaran kita diturunkan kepada 184 pingat,” kata Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 12:31 PM