KHAIRY (tengah) bersama atlet yang akan menyertai Sukan SEA 2015 di Singapura pada majlis Penyerahan Jalur Gemilang.
KHAIRY (tengah) bersama atlet yang akan menyertai Sukan SEA 2015 di Singapura pada majlis Penyerahan Jalur Gemilang.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Putrajaya: Tiada sasaran spesifik pingat emas. Begitulah pendirian ditetapkan ke atas kontinjen negara untuk temasya Sukan SEA di Singapura dengan sasaran yang ditetapkan ialah perlu memperoleh 56 peratus pingat sebarang warna daripada 35 acara disertai.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara semalam mempunyai alasan tersendiri mengapa menetapkan sasaran diukur menerusi peratusan.

“Sukan SEA adalah sukan untuk pembangunan atlet. Sebab itu hampir 50 peratus daripada atlet kita adalah atlet pelapis berusia bawah 21 tahun.

“Kalau kita letakkan sasaran pingat emas, ia sebenarnya tidak menggambarkan temasya sukan ini sebagai memberi pendedahan kepada atlet muda kita.

“Apabila kita mengambil sasaran mengikut peratusan berdasarkan kepada acara yang dipertandingkan, ia memberi gambaran lebih menyeluruh.

“Sebab bagi atlet pelapis, kalau mereka mendapat pingat gangsa atau perak, ia juga sebenarnya satu kejayaan untuk mereka,” katanya.

Jelas, pihaknya tidak mahu terlalu obses memandang hanya kepada kejayaan meraih pingat emas kerana acara sukan yang dipertandingkan juga tidak konsisten seperti Sukan Asia, Komanwel dan Olimpik.

“Sukan SEA acaranya berubah-ubah. Contohnya seperti di Myanmar kita dapat banyak emas daripada acara karate.

“Tapi kali ini, karate digugurkan daripada Sukan SEA Singapura. Jadi bila acara ini berubah-ubah daripada satu Sukan SEA ke Sukan SEA yang lain, ia menjadi tidak konsisten,” katanya.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan perlantikan Keith Power sebagai Pengarah Berprestasi Tinggi Kementerian Belia dan Sukan.

Power, bekas Pengarah Berprestasi Tinggi Universiti California, sudah memulakan tugasnya minggu lalu dengan kontrak selama dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 8:20 AM