Pasukan bola keranjang wanita menyumbang pingat emas ke-60 negara hari ini. - Foto ROSLI RAHMAT
Pasukan bola keranjang wanita menyumbang pingat emas ke-60 negara hari ini. - Foto ROSLI RAHMAT
Aziman Rosdi & Ferzalfie Fauzi

Singapura: Sasaran awal pingat kontinjen negara pada Sukan SEA ke-28 Singapura yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada majlis penyerahan Jalur Gemilang bulan lalu, iaitu 56 peratus atau sejumlah 184 pingat pelbagai warna, secara tidak rasmi sudah tercapai, malah melepasi sasaran.

Selepas hari ke-11 temasya sukan itu, kontinjen negara sudah mengumpul 181 pingat - 60 emas, 55 perak dan 66 gangsa.

Menjelang majlis penutup malam esok, lima pingat dijangka melalui lima wakil sukan badminton yang mara ke perlawanan akhir esok.

Beregu campuran, Chan Peng Soon-Gih Liu Ying yang mara ke saingan akhir sudah menjanjikan satu pingat perak manakala empat pingat sudah pasti diraih acara perseorangan lelaki dan beregu wanita apabila masing-masing bertemu sesama sendiri.

Dalam perseorangan lelaki, Arif Latif akan bertemu Chong Wei Feng, manakala beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei menentang Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho.

Sebentar tadi, acara petanque menyumbang dua pingat perak melalui trio wanita yang tewas 4-13 kepada Thailand manakala trio lelaki tewas 10-13 juga kepada Thailand untuk pingat ke 181 negara.

Jumlah pingat emas yang dikumpul pada Sukan SEA Singapura setakat ini mengatasi pencapaian di Sukan SEA 2011 di Indonesia menyaksikan Malaysia meraih 59 emas, 50 perak dan 81 gangsa manakala di Myanmar dua tahun lalu, kontinjen negara memperoleh 33 pingat emas, 32 perak dan 64 gangsa.

Semalam, kontinjen negara meraih pingat emas terbanyak iaitu 14 melalui acara memanah (4), pelayaran (3), pencak silat (3), gimnastik berirama (2), berbasikal (1) dan ski air (1).

Hari ini, skuad bola keranjang wanita menyumbang emas ke-60 Malaysia selepas menewaskan Vietnam 82-50 pada perlawanan terakhir liga sepusingan di Arena OCBC.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, kontinjen negara bukan saja bakal mencapai sasaran 56 peratus tetapi secara tidak rasmi bakal meraih 187 pingat melepasi sasaran 184 pingat yang ditetapkan.

"Kita sebenarnya sudah melepasi sasaran pingat emas yang ditetapkan MSN iaitu 48 emas dan sasaran Chef-de-Mission, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria iaitu 50 emas," katanya ketika bertemu media di Stadium Tertutup Singapura, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 7:45 PM