SKUAD terjun negara cemerlang di Singapura.
SKUAD terjun negara cemerlang di Singapura.

Malaysia secara tidak rasmi sudah melepasi sasaran 54 peratus pingat apabila bakal meraih 187 pingat, umum Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Setakat semalam, kutipan keseluruhan pingat negara ialah 181 dan hari ini pasukan badminton menjamin enam pingat sudah berada dalam genggaman.

Mengikut sasaran, kontinjen negara disasarkan meraih 184 pingat secara keseluruhan tanpa mengira warna.

Menurut Ahmad Shapawi, bilangan acara disertai pada awalnya ialah 335 tetapi (ketika temasya berlangsung) enam daripadanya digugurkan.

“Dua daripadanya menerusi acara disertai Koo Chai Lin (renang) kerana dia mengalami demam, tiga acara pelayaran dan satu lompat jauh,” katanya ketika ditemui media di Stadium Tertutup Singapura.

Jelasnya, selepas ditolak enam acara, atlet negara hanya mengambil bahagian dalam 329 acara dan sekiranya mengikut kiraan 56 peratus, sasaran keseluruhan hanya 184 pingat berbanding yang asal, 188.

“MSN meletakkan sasaran daripada 184 pingat itu, 48 adalah emas, 44 perak dan 92 gangsa.

“Jika berdasarkan sasaran itu, kita sebenarnya sudah melepasi kutipan 43 emas di Myanmar (2013). Malah kutipan itu juga mengatasi 48 emas sasaran MSN dan 50 emas sasaran Chef de Mission Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria,” katanya.

Ahmad Shapawi berkata, beliau bangga dengan pencapaian kontinjen kali ini dan berharap atlet negara akan cuba dapatkan lagi emas.

Emas serta perak sah menjadi milik beregu wanita dan perseorangan badminton apabila Malaysia mendominasi pentas final manakala beregu campuran berdepan pasangan Indonesia.

Perseorangan wanita, Goh Jin Wei yang tumpas aksi separuh akhir semalam akan menerima gangsa hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 11:20 AM