Agensi

London: Pengurus England Roy Hodgson sedia meletak jawatan selaku jurulatih selepas Euro 2016 jika merasakan khidmatnya tidak lagi diperlukan.

Pengendali berusia 67 tahun itu yang menandatangani kontrak empat tahun sejak Mei 2012, kekal diberi tanggungjawab menguruskan Three Lions walaupun anak buahnya gagal memenangi sebarang perlawanan di Piala Dunia 2014.

Tetapi sejak itu, England tidak pernah tewas sepanjang lapan perlawanan dan menduduki tangga teratas kumpulan kelayakan Euro 2016 dengan rekod 100 peratus.

“Memang saya pernah terfikir untuk berada lebih lama bersama skuad England, tetapi pada masa sama, saya perlu berasa diri diperlukan,” kata Hodgson.

“Sven (Goran Eriksson) dan Fabio (Capello) bukanlah individu tidak popular, tetapi apabila England menghadapi masalah, semua orang berkata: “Kami tidak lagi mahu mereka membimbing England.

“Saya tidak mahu perkara sama berlaku pada saya pada usia 68 atau 69 tahun nanti.”

Pengerusi FA Inggeris Greg Dyke pernah berkata, beliau merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Hodgson berhubung kontraknya tahun depan.

“Saya sukakan tugas ini,” kata Hodgson. Saya mahu merasakan perasaan sama jika diberi peluang. Tetapi, jika merasakan saya tidak diperlukan lagi, lebih baik saya meletak jawatan.

“Setakat ini, saya tidak pasti sama ada mahu meneruskan tanggungjawab ini atau tidak.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:11 AM