London: Pengurus Roy Hodgson memberi mesej Tahun Baru menyenangkan buat penyokong England yang dahagakan kejayaan apabila berharap pasukannya akan menjadi ‘pencabar utama’ bagi kejuaraan Euro 2016.

Selepas tahun yang mengecewakan sekali lagi buat penyokong England berikutan kegagalan pada Piala Dunia, Hodgson kelihatan ceria ketika berbicara mengenai harapan pasukannya selepas kempen di Brazil.

“Saya tidak sabar melihat mereka layak ke Perancis pada 2016,” jelas Hodgson dalam laman web FA (www.thefa.com) kelmarin ketika beliau memberi reaksi mengenai permulaan kemenangan 100 peratus pasukannya pada kelayakan Euro 2016.

“Saya mahu terus memainkan peranan membantu pemain dalam laluan mereka, laluan untuk menjadi lebih baik dalam setiap aspek permainan dan lebih bagus sebagai pasukan dan pada 2016 harap-harap mereka akan menjadi pencabar utama sebelum ke Perancis.”

Selepas gagal melepasi peringkat kumpulan di Brazil, pasukan muda Hodgson mempamerkan perkembangan mengagumkan dengan memenangi semua enam perlawanan termasuk perlawanan persahabatan dan kelayakan Kumpulan G Euro, musim ini.

“Saya tidak sabar menanti perlawanan seterusnya dan kami harap terus mencatat kemenangan,” ujar Hodgson. “Saya juga tidak sabar melihat pasukan ini layak ke pusingan akhir di Perancis.

“Paling penting saya mahu melihat perkembangan berterusan untuk muncul sebuah pasukan yang lebih bagus pada hujung 2015 berbanding pada awal tahun.

“Kini kami sebuah pasukan yang bagus, tapi kami mahu menjadi lebih baik. Pengalaman kami raih sepanjang tahun ini akan membantu kami, staf kejurulatihan dan pemain.”

Perlawanan England berikutnya adalah menentang Lithuania pada kelayakan Euro di Wembley, Mac ini namun Hodgson sudah mengatur perjumpaan dalam kalangan pemain pada hujung Januari bagi mengkaji kemenangan terbaru ke atas Scotland dan perancangan bagi tahun depan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:03 AM