PESERTA bergambar selepas tamat Bengkel Penulisan: Berita dan Artikel. FOTO ihsan MPHS
PESERTA bergambar selepas tamat Bengkel Penulisan: Berita dan Artikel. FOTO ihsan MPHS

Subang Jaya: Seramai 16 wartawan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengikuti Bengkel Penulisan: Berita dan Artikel bagi mendapatkan pendedahan mengenai gaya dan bentuk penulisan berkesan dalam menghasilkan pelaporan kreatif, semalam.

Bengkel yang diadakan selama sehari itu disampaikan oleh Pengarang Berita Harian Metro, Dr Muhammad Izawan Baharin.

Program anjuran Bahagian Korporat itu menghimpunkan Ahli Jawatankuasa Multimedia yang terdiri daripada wakil setiap jabatan di MPHS.

Timbalan Yang Dipertua MPHS, Awaluddin Zakaria berkata, beliau berbangga dengan usaha dan komitmen dipamerkan oleh ahli jawatan kuasa (AJK) sedia ada dalam melaporkan segala aktiviti di jabatan kepada pengurusan tertinggi dan seterusnya memaklumkan kepada warga daerah Hulu Selangor melalui platform rasmi MPHS.

"Saya harapkan menerusi input yang diperolehi di dalam bengkel ini, peserta dapat menghasilkan sendiri penulisan yang berkualiti untuk melaporkan aktiviti, kempen atau program jabatan masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 3:38 PM