ROY HODGSON
ROY HODGSON
Agensi

LONDON: Pengurus Crystal Palace Roy Hodgson berkata, beliau mahu menandatangani penyerang Liverpool dan England Dominic Solanke secara pinjaman pada Januari ini.

Palace yang tewas kepada Chelsea 1-0, semalam hanya menjaringkan 17 gol dalam 20 perlawanan musim ini, yang ketiga paling rendah dalam Liga Perdana.

“Tidak menjadi rahsia lagi dia sasaran kami,” kata Hodgson. “Dia terbukti penyerang berkesan dalam kesemua saingan peringkat umur.”

Huddersfield dan Brighton turut beminat mendapatkan penyerang berusia 21 tahun itu.

Difahamkan Solanke turut menarik minat kelab Championship dan luar England.

“Dia memiliki profil dan kemampuan yang kami mahukan. Kami tahu mengenai kebolehannya dalam skuad England,” kata Hodgson.

“Dia mampu melakukannya dalam liga jika dia datang ke sini.”

Solanke bekas pemain skuad belia England setakat ini mempunyai satu kap bersama skuad senior ketika menentang Brazil tahun lalu dan menyertai Liverpool dari Chelsea dengan yuran percuma pada 2017.

Bagaimanapun, dia gagal membarisi kesebelasan utama Liverpool musim ini.

Dia turut diketepikan ketika The Reds membelasah Arsenal 5-1 kelmarin akibat masalah otot.

Menurut Hodgson: “Saya fikir Solanke adalah pembelian yang bagus untuk Liverpool tetapi dia dibayangi pemain-pemain lain yang lebih handal dan ia bukan sesuatu yang negatif.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 8:39 AM