HODGSON undur diri dari kem England.
HODGSON undur diri dari kem England.
Reuters

Nice: Selepas empat tahun bersama England, jurulatih Roy Hodgson mengucapkan selamat tinggal selepas kalah mengejut 1-2 kepada pasukan kerdil, Iceland di pusingan kalah mati Euro 2016 semalam.

Hodgson, 68, tidak membuang masa untuk mengumumkan peletakan jawatannya pada penghujung kontraknya apabila beliau membaca kenyataan yang sudah disediakan pada sidang media selepas perlawanan tamat.

“Kami tersingkir dari Euro, jadi sekarang ini tiba masanya untuk pengendali lain mengambil alih pasukan yang dahagakan kejayaan dan memiliki ramai pemain berbakat.

“Kontrak saya akan berakhir selepas tamat kejohanan ini. Saya masih berminat untuk kekal dengan pasukan ini dalam tempoh dua tahun lagi, tapi sekarang ini masa yang sesuai untuk jurulatih lain mengambil alih,” katanya yang menggantikan Fabio Capello.

Staf kejurulatihan, Gary Neville dan Ray Lewington yang duduk bersama Hodgson dalam sidang media juga akan meninggalkan pasukan.

Hodgson yang sering berkelana, ditawarkan tugas berkenaan apabila kebanyakan kariernya tertumpu di England dan Scandinavia, serta pernah menjadi jurulatih kebangsaan Switzerland.

Harry Redknapp menjadi kegemaran media untuk tugas berkenaan, tetapi diabaikan Persatuan Bolasepak England (FA).

Hodgson mempunyai rekod baik dalam kempen kelayakan dengan England mengekalkan rekod cemerlang 10 kemenangan untuk mara ke Euro 2016 tetapi beliau hanya menang tiga daripada 11 perlawanan di kejohanan utama.

England mara ke suku akhir Euro 2012, sebelum kalah menerusi penentuan sepakan penalti kepada Itali, selepas itu mereka memberikan persembahan buruk di Piala Dunia 2014 apabila tersingkir di peringkat kumpulan tanpa memenangi sebarang perlawanan.

Hodgson memuji skuadnya semalam walaupun memberikan prestasi buruk kepada Iceland kerana tidak mencerminkan kemampuan sebenar pemainnya yang kebanyakan beraksi di Liga Perdana Inggeris.

“Mereka sudah memberikan aksi terbaik dan melakukan apa yang disuruh. Sebaik tiba di sini saya diberitahu pemain akan menarik diri saat akhir tapi saya tidak pernah melihat perlakuan seperti itu.

“Ia satu perjalanan yang menarik dalam tempoh empat tahun lalu. Saya akan melihat kembali pasukan ini dengan perasaan bangga.

“Saya minta maaf kerana ia berakhir dengan satu lagi penyingkiran, tapi perkara ini sudah berlaku. Saya mengucapkan selamat berjuang dan berharap dapat melihat England beraksi dalam final kejohanan utama pada masa akan datang, sesuatu yang tidak dapat saya lakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 5:13 AM