Reuters

London: Persatuan Bolasepak England mungkin mengalami kesulitan untuk menyakinkan pengurus ternama untuk mengambil alih tugas sebagai jurulatih negara itu.

Bekas pengurus Roy Hodgson melepaskan jawatan selepas pasukan England terkeluar daripada kejohanan Euro 2016 dengan kekalahan memalukan di tangan Iceland Isnin lalu, dan satu panel jawatankuasa sudah mula mencari penggantinya.

Jurulatih Bawah 21 tahun England Gareth Southgate sebelum ini dikaitkan media British selain pengurus Arsenal Arsene Wenger, pengurus Bournemouth Eddie Howe, pengurus Hull City Steve Bruce dan bekas pengurus England Glenn Hoddle.

Pengerusi England FA Greg Dyke (gambar) berkata, individu yang dipilih mestilah seseorang yang betul-betul memahami bola sepak Inggeris.

“Ada ramai yang mahukan jawatan ini sekarang. Persoalan yang sukar kini adalah mengapa semua orang mahukan tugas ini.

“Mereka menerima tekanan media yang tidak ada orang lain dalam bola sepak terima,” kata Dyke yang perkhidmatannya bakal tamat Julai ini.

Bagaimanapun, bekas pengerusi England FA David Bernstein mencadangkan pengurus Sunderland Sam Allardyce untuk menggantikan Hodgson.

“Saya tidak cakap kita perlu mendapatkan pengurus berbangsa Inggeris. Tetapi daripada semua pengurus Inggeris, saya akan memilih Sam Allardyce.

“Beliau memiliki karakter yang kuat. Saya rasa beliau mempunyai personaliti, kekuatan, teknik permainan yang baik, berpengalaman dan seorang yang mampu menanamkan keyakinan kepada pemain,” katanya.

Perlawanan seterusnya untuk pasukan England adalah menentang Slovakia di tempat lawan 4 September depan untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 5:54 AM