Bandung: Pihak berkuasa Indonesia menahan seorang lagi pegawai penjara yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Suspek yang bertugas di penjara yang menempatkan pesalah dadah itu adalah pegawai penjara kedua ditahan dalam tempoh sebulan atas kesalahan sama.

Ketua warden Penjara Banceuy, Agus Irianto mengesahkan Dedy Romadi ditahan di Jakarta pada Jumaat lalu bersama 16.3 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dan 778 pil ekstasi.

Badan Narkotik Kebangsaan (BNN) melaporkan, Dedy mungkin bekerja dengan seorang pengedar dadah warga Iran yang ditahan bersamanya di sebuah pusat beli-belah di Jakarta.

Ketika ditahan Dedy didapati membawa methamphetamine seberat 1kg.

Dedy kemudiannya dibawa ke rumahnya di Bandung dan pihak berkuasa menemui 15.3kg methamphetamine serta beratus-ratus pil ekstasi.

Agus berkata, Dedy tidak bertugas ketika ditahan dan beliau juga terkejut dengan penahanan pegawai penjara itu.

Sementara itu, Kementerian Kehakiman yang mengawal penjara di negara itu mendakwa, hanya 1kg dadah milik Dedy dan selebihnya milik suspek warga Iran.

Kedua-dua suspek mungkin berdepan hukuman mati sekiranya didakwa dan didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah.

Beberapa minggu lalu, seorang pegawai penjara di pulau Nusakambangan juga ditahan kerana terbabit dalam pengedaran dadah.

Pulau Nusakambangan adalah lokasi hukuman mati terhadap 13 pesalah dadah termasuk warga asing dijalankan, baru-baru ini.

Pegawai Penjara Batu, Bayu Anggit Permana ditahan bersama dadah jenis methamphetamine seberat 364 gram.

Seorang banduan di penjara itu mengaku mengupah Bayu untuk membawa keluar dadah berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 7:48 AM