FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan enam individu termasuk dua wanita dalam serbuan di sekitar Lembah Klang dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM101,644, Selasa lalu.

Operasi khas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur itu menyerbu empat premis di Sri Hartamas, Cheras, Ampang dan ibu negara.

Timbalan Ketua JSJN Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 25 hingga 36 tahun.

"Serbuan membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah antaranya heroin seberat 2.82 kilogram (kg), methamphetamine (0.34 kg), ganja (1.23 kg), serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) (53 gram), 1,870 pil Erimin 5 serta 206 pil ekstasi.

"Polis turut menyita dua kenderaan jenis Volkswagen Jetta dan Volkswagen Passat serta dua Perodua Myvi selain seutas rantai emas dan wang tunai berjumlah RM11,460 bagi membantu siasatan,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan sitaan termasuk dadah berjumlah RM234,704 dan hasil siasatan awal mendapati empat premis itu dijadikan tempat penyimpanan dadah.

"Premis disewa dengan bayaran antara RM1,500 hingga RM1,800 sebulan oleh dua suspek sejak empat bulan lalu.

"Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati empat suspek positif methamphetamine dan Tetrahydrocannabinol (THC)," katanya.

Mohd Shokri berkata, dua daripada suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah.

"Keseluruhan dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 5,189 pengguna. Semua suspek terbabit direman bermula Selasa lalu hingga Isnin depan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 6:04 PM