Jakarta: Mahkamah Agung semalam mengekalkan hukuman penjara seumur hidup terhadap ketua kumpulan pengedar dadah atas tuduhan menyeludup ribuan pil ekstasi dan sejumlah besar methamphetamine dari Malaysia.

Perkara itu diumumkan mahkamah di laman web rasminya, semalam.

La Ode Masri, 45, adalah sebahagian daripada sindiket antarabangsa yang menyeludup dadah dari Malaysia ke Jakarta melalui Batam.

Mengikut keterangan dibacakan di mahkamah, La Ode mula menyeludup dadah pada Januari 2012.

Dia mendakwa mendapat arahan seorang wanita dikenali sebagai Ling Ling yang masih belum dapat dikesan.

Cubaan pertama La Ode membawa masuk dadah ke Indonesia membabitkan 100 kilogram pil ekstasi dan 20 kilogram methamphetamine gagal selepas polis berjaya menangkap orang yang diupah membawanya.

La Ode dan Ling Ling kemudian mencuba kali kedua pada November 2012 apabila menyeludup sebanyak 175,000 pil ekstasi dan 10 kilogram methamphetamine ke Jakarta.

Nasib tidak menyebelahi La Ode apabila dia ditangkap di Tanjung Priuk pada Februari 2013 dengan 116 pil ekstasi.

Polis kemudian berjaya merampas 10,000 pil ekstasi dan 10 kilogram methamphetamine daripada beberapa orang upahannya.

La Ode dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Jakarta Utara pada November 2013 dan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:46 AM