ROONEY (tengah) yakin rakan sepasukan mampu kembalikan kegemilangan United.
ROONEY (tengah) yakin rakan sepasukan mampu kembalikan kegemilangan United.
Agensi

London: Wayne Rooney percaya Manchester United boleh mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim depan jika mereka dapat membeli pemain yang tepat pada musim panas ini.

Red Devils meraih tempat terakhir ke Liga Juara-Juara musim lalu selepas permulaan kempen yang hambar namun tidak pernah mengancam kejuaraan dan berakhir 17 mata di belakang juara, Chelsea.

Usaha Louis van Gaal merekrut pemain baru musim depan sudah bermula dengan pembelian Memphis Depay dan Rooney yakin United boleh bersaing di puncak dengan kehadiran pemain yang bagus.

“Secara jujur saya yakin kami boleh pergi jauh tahun depan dan mencabar kejuaraan,” katanya dalam laman web peribadi.

“Jika anda lihat bagi 10 atau 11 perlawanan pertama kami hanya mengumpul sekitar 13 mata dan jika anda lihat di mana kami berakhir, saya fikir ia membuktikan kami boleh bermula dengan lebih bagus.

“Kami mendominasi dan mengatasi hampir semua pasukan musim ini tapi tidak mengambil peluang sebaik mungkin untuk memenangi perlawanan itu, ia mungkin lain ceritanya jika kami menang.

“Apa yang paling penting sebagai satu skuad, termasuk pengurus dan saya sendiri, kami yakin boleh mencabar kejuaraan dan dengan beberapa pembelian pada musim panas ini kami mempunyai peluang baik melakukannya.

“Bagus juga jika menang beberapa piala, kelab seperti Manchester United patut menang trofi dan harapnya musim depan semuanya menjadi buat kami.”

Pemain berusia 29 tahun itu memuji Van Gaal bagi musim sulungnya dalam kancah bola sepak Inggeris selepas menggantikan David Moyes dan sekalipun dia kecewa tidak menang sebarang trofi, Rooney berasakan pengendali Belanda itu berjaya meletakkan semula kelab itu di tempat sepatutnya.

“Anda perlu sedar pada awal musim kami mempunyai pengurus baru, jurulatih baru dan ramai pemain baru, jadi tugas sukar buat kami untuk memenangi Liga Perdana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:12 AM