AZHAR (kiri) dan Mohd Farid menunjukkan tiket dibeli.
AZHAR (kiri) dan Mohd Farid menunjukkan tiket dibeli.

Kota Bharu: “Kegagalan mendapatkan tiket final Piala FA 2013 menyebabkan saya nekad berkampung di perkarangan stadium sejak jam 6 pagi supaya tidak berputih mata kali ini,” kata penyokong setia Kelantan, Azhar Zakaria di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.

Azhar, 40, berkata, walaupun masih berduka dengan tragedi banjir yang menenggelamkan rumahnya di Manek Urai, Disember lalu, semangatnya tidak luntur untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan LionsXII, Sabtu ini.

Setiap kali Kelantan layak ke final, Azhar mendakwa tidak pernah ketinggalan menyaksikannya dan berasa satu kekurangan andai gagal hadir di stadium untuk memberi sokongan moral kepada pemain The Red Warriors (TRW).

Azhar berkata, dia bersama anak saudaranya Mohd Farid Azmi, 22, bertolak dari Manek Urai kira-kira jam 4.30 pagi sebelum tiba di Kota Bharu sejam setengah kemudian.

Katanya, mereka tidur sejenak di dalam kereta sebelum solat Subuh.

“Selepas bersarapan, kami terus beratur di depan kaunter walaupun ketika itu baru jam 7.30 pagi. Saya orang paling awal sebelum lapan lagi penyokong mula beratur.

“Saya sanggup berbuat demikian selepas gagal mendapatkan tiket pada musim 2013 menyebabkan saya terpaksa membayar RM80 kepada ulat tiket,” katanya yang akan bertolak bersama keluarganya ke Kuala Lumpur esok.

Sementara itu, penjualan tiket perlawanan akhir berjalan lancar sejak kaunter dibuka jam 9 pagi sebelum semua 10,000 tiket habis dijual dua jam kemudian.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Datuk Ismail Md Noor berkata, lapan kaunter dibuka termasuk satu yang dikhaskan untuk wanita.

“Tahun ini penjualan tiket berjalan lancar dan tiada sebarang insiden tidak diingini.

“Penyokong sangat berdisiplin dan menurut segala arahan pihak berkuasa, sekali gus membantu melancarkan penjualan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 9:05 AM