PENYOKONG Bos Gaurus mendapatkan tiket percuma perlawanan Liga Super Perak menentang Kedah di Stadium Perak. FOTO Abdullah Yusof
PENYOKONG Bos Gaurus mendapatkan tiket percuma perlawanan Liga Super Perak menentang Kedah di Stadium Perak. FOTO Abdullah Yusof
Farah Suhaidah Othman


IPOH: Cuaca panas mencecah 34 darjah celcius tidak menghalang penyokong The Bos Gaurus (TBG) untuk beratur sepanjang lebih 100 meter demi mendapatkan tiket percuma bagi menyaksikan saingan Liga Super, antara Perak menentang Kedah di Stadium Perak, di sini malam ini.

Sejak jam 9 pagi lagi ribuan penyokong sudah hadir untuk mendapatkan tiket percuma di kaunter stadium dimana hanya tiga tiket dihadkan bagi setiap penyokong.

Pesara kerajaan, Buyong Samad, 67, antaranya hampir kecewa kerana gagal mendapatkan tiket pada sesi agihan tiket sebelah pagi, biarpun bergegas keluar dari rumahnya sejak jam 9 pagi dan tiba satu setengah jam kemudian.

“Bagaimanapun, saya datang semula lepas solat Jumaat tadi kira-kira jam 2.30 petang dan selepas beratur hampir dua jam berjaya mendapatkan tiket untuk menonton perlawanan malam ini bersama dua anak saya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Ipoh, di sini hari ini.

Fatin Adriana Azmi, 21, pula berkata dia teruja untuk menyaksikan perlawanan pasukan Perak dan tidak kisah beratur panjang di bawah terik matahari untuk mendapatkan tiket percuma itu.

“Saya tengok Instagram pasukan Perak dan kerajaan negeri hendak beri tiket percuma, saya terus datang ke sini pada jam 10 pagi tadi.

“Sedikit sedih apabila dimaklumkan tiket habis namun saya tidak berputus dan datang kembali untuk dapatkan tiket pada sebelah petang,” katanya.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford Kuala Kangsar, Danial Hidayat Norahimi, 17, berkata dia bersama rakannya menunggang motosikal ke Ipoh untuk menonton perlawanan malam ini.

“Memandangkan cuti sekolah, saya dan kawan terus datang ke sini dengan izin kedua ibu bapa untuk tengok perlawanan malam ini.

“Dapat pula tiket percuma, saya rasa pasukan Perak boleh menang malam ini,” katanya.

Sementara itu, Ikhwan Abd Malik, 41, berkata, dia jarang menonton perlawanan di stadium Perak berikutan bertugas di Kuala Lumpur namun kesempatan bercuti sempena Tahun Baharu Cina digunakan untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangannya Perak.

Katanya, dia tidak kisah beratur panjang kerana tidak selalu berada dalam kemeriahan bersama penyokong lain untuk menonton perlawanan itu.

“Alhamdulillah, walaupun terpaksa beratur dalam keadaan panas terik macam ini namun saya puas hati sebab dapat tiket percuma,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di stadium sehingga jam 5.30 petang tadi mendapati ribuan penyokong sudah mula membanjiri perkarangan stadium bagi menantikan perlawanan jam 9 malam ini.

Semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan untuk memberi tiket percuma kepada penyokong Perak.

Penyokong dikehendaki mendapatkan tiket berkenaan di kaunter jualan tiket dengan menunjukkan MyKad sebagai bukti mereka adalah anak jati Perak.

PENYOKONG Bos Gaurus sanggup berpanas demi pasukan mereka. FOTO Abdullah Yusof
PENYOKONG Bos Gaurus sanggup berpanas demi pasukan mereka. FOTO Abdullah Yusof

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 7:12 PM