MAULA (kiri) Bersama rakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk membeli tiket final Piala AFF. - Foto Firdaus Hashim
MAULA (kiri) Bersama rakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk membeli tiket final Piala AFF. - Foto Firdaus Hashim
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: “Saya datang dari subuh semalam hingga pagi ini dan sebatang hidung orang stadium pun tak nampak. Kalau nak tahu, garisan polis kami sendiri yang buat bukan orang stadium atau pihak berkuasa.”

Itu antara luahan penyokong Harimau Malaya, Mohd Noor Maula yang berada di Stadium Nasional, Bukit Jalil sejak semalam semata-mata untuk mendapatkan tiket final pertama Piala AFF membabitkan Malaysia dan Vietnam.

Maula, 31, yang datang dari Kelana Jaya berkata, dia begitu kecewa dengan sistem penjualan tiket yang dikelolakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak stadium apabila langsung tiadanya penghadang besi atau garisan tali bagi membolehkan penyokong beratur.

“Saya datang sejak semalam dan boleh kata saya antara orang yang terawal.

“Menjelang pagi ini keadaan sangat tak terkawal apabila ada penyokong yang baharu datang merempuh untuk memotong barisan. Jadi sistem ini tak betul dan salah.

“Patutnya orang stadium atau FAM kenalah ada di sini dan buat garisan atau penghadang. Tapi mereka tak buat. Kalau nak tahu, garisan tali ini kami sendiri yang buat sebab takut orang dari belakang potong barisan,” katanya.

Bagi seorang lagi penyokong Fazly Ab Rahman, keadaan menjadi tidak terkawal sejak tengah malam tadi apabila lampu di perkarangan stadium dipadamkan oleh pihak pengurusan.

“Asalnya keadaan terkawal. Tapi bila mereka padamkan lampu pada jam 11 malam, situasi bertukar ‘panas’ dengan ada penyokong dari belakang memotong barisan.

“Patutnya mereka jangan tutup lampu sebab yang bermalam di sini cukup ramai, malah pihak berkuasa pun boleh dikatakan langsung tak ada untuk mengawal keadaan di sini,” katanya yang berasal dari Selayang.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 10:23 AM