WAJAH ceria penyokong Selangor selepas berjaya membeli tiket.
WAJAH ceria penyokong Selangor selepas berjaya membeli tiket.
PENYOKONG bermalam di perkarangan stadium.
PENYOKONG bermalam di perkarangan stadium.
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: “Biarpun kami sekeluarga terpaksa tidur di lantai, saya berpuas hati kerana akhirnya dapat membeli tiket selepas gagal memperolehnya tahun lalu,” kata Siti Aminah Zakaria, 32.

Wanita itu antara ribuan penyokong setia Gergasi Merah yang sanggup bermalam di depan kaunter pintu utama Stadium Shah Alam di sini, semata-mata untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah, Ahad ini.

Semalam, ribuan penyokong termasuk kanak-kanak mula membanjiri perkarangan stadium itu dan beratur di kaunter yang mula dibuka jam 10 pagi.

Difahamkan, 8,000 tiket habis dijual dalam tempoh 30 minit di 10 kaunter disediakan sehingga mengakibatkan ada penyokong pulang hampa.

Penjualan tiket berharga RM50 bagi dewasa dan RM5 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun itu hanya terhad kepada empat tiket seorang.

Siti Aminah yang menetap di Klang berkata, beliau bersama suami, Mohd Ali Mahidin, 28, dan anaknya, Muhamad Sharani Ramadhan, 2, tiba di stadium sejak 12 tengah malam kelmarin.

“Kami bersemangat untuk pergi menyaksikan final kali ini kerana ia pasti sengit kerana pertembungan ulangan tahun lalu.

“Bagi mengelak terlepas peluang seperti sebelum ini, suami terpaksa bercuti sehari untuk mendapatkan tiket,” katanya yang juga antara pembeli terawal.

Sebanyak 72,000 tiket diperuntukkan untuk aksi final Piala Malaysia itu yang menyaksikan pertemuan ulangan final 2015 antara kedua-dua pasukan berkenaan.

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) masing masing diperuntukkan sebanyak 30,000 tiket.

Sementara itu, Azarudin Abdul Rahman, 48, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dari Banting berkata, beliau sememangnya tidak pernah terlepas menyaksikan perlawanan membabitkan Selangor.

“Saya bersama tiga anak bertolak dari rumah pada jam 6 pagi dan bersyukur kerana mendapat tiket walaupun terpaksa berhimpit dengan penyokong lain. Saya berharap Selangor menang lagi tahun ini,” kata tukang urut yang mengalami kecacatan kaki sejak lahir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 7:48 AM