Ahmad Rabiul Zulkifli

KUALA TERENGGANU: Sehingga kini seramai enam penyokong Terengganu FC (TFC) pengsan akibat bersesak ketika beratur di hadapan kaunter tiket di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah (SSINS).

Lebih 5,000 penyokong setia Terengganu FC membanjiri pekarangan SSINS dan kira-kira 2,000 penyokong tegar bersesak di hadapan kaunter tiket.

Syafiq Che Alias, 28, dari Kampung Gong Pak Maseh berkata, dia datang seawal jam 4 pagi dan beratur di hadapan kaunter bermula jam 6 pagi.

“Lebih lima jam saya beratur tetapi akhirnya terpaksa mengalah kerana cuaca semakin panas. “Seorang perempuan berusia 25 tahun yang berada di hadapan saya pengsan dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

“Difahamkan wanita itu beratur seawal jam 11 malam dan tidak sempat makan menyebabkan dia pengsan,” katanya.

Syafiq berkata, penjualan tiket kali ini paling teruk dalam sejarah.

“Biasanya yang datang awal terpaksa mengalah dan keluar barisan kerana sudah tidak mampu bertahan. Sepatutnya penjualan tiket dipermudahkan supaya semua peminat berpeluang membelinya.

“Pagar dan tahap kawalan juga tidak disediakan menyebabkan orang ramai beratur tanpa disiplin,” katanya.

SEBAHAGIAN penyokong Terengganu yang sudah beratur daripada malam tadi untuk membeli tiket. -Foto Ghazali Kori dan Ahmad Rabiul Zulkifli
SEBAHAGIAN penyokong Terengganu yang sudah beratur daripada malam tadi untuk membeli tiket. -Foto Ghazali Kori dan Ahmad Rabiul Zulkifli

Ku Khairi Ku Amri, 24, dari Kampung Bukit Tunggal berkata, dia beratur seawal jam 9.30 malam dan berada di hadapan kaunter di barisan pertama.

“Memang sedih dan terkilan dengan pengurusan. Sepatutnya kaunter dibuka daripada awal bukan dilewatkan sehingga orang yang datang lebih awal terpaksa keluar barisan kerana sudah letih. “Saya cuba bertahan lebih lama tetapi sudah tidak mampu kerana daripada semalam beratur. “Mereka berjanji kaunter dibuka pada jam 10 pagi tetapi dianjak pula ke jam 10.30 pagi dan akhirnya kami yang bermasalah.

“Kebiasaannya jam 8 pagi sudah mula dijual, perbuatan mereka itu seperti sengaja menyeksa penyokong,” katanya. Dia berharap Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengkaji semula kaedah penjualan tiket akhir supaya masalah seperti itu tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 12:22 PM