Bangkok: Akhbar Harian Metro (HM) memenangi pingat gangsa bagi kategori Kandungan Editorial Terbaik menerusi laporan khas Sedekad Tsunami pada Anugerah Media Asia 2015 anjuran Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Sedunia (WAN-IFRA), di sini, sebentar tadi.

HM turut memenangi pingat gangsa bagi kategori Fotografi Rencana Terbaik menerusi ruangan Spektrum bertajuk Perayaan Penuh Warna- Warni.

Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid bersama Pengarang Berita (Projek Khas) HM Muhd Izawan Baharin dan jurugambar NSTP Mohd Aizuddin Akmal Saad menerima anugerah itu pada majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini.

Akhbar Berita Harian pula memenangi pingat gangsa dalam kategori Anugerah Gambar Sukan Terbaik menerusi gambar yang dirakamkan jurugambar Osman Adnan.

Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-ocha itu diadakan sempena persidangan Publish Asia 2015 itu dihadiri ketua pegawai eksekutif syarikat penerbitan akhbar, editor dan wartawan kanan.

Laporan khas Sedekad Tsunami yang disiarkan di akhbar ini bermula 21 hingga 27 Disember lalu terbahagi kepada tiga bahagian dengan tumpuan kepada perkembangan pembangunan di Acheh, Indonesia; Phuket, Thailand; Pulau Pinang serta Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 10:49 PM