Yusri (kanan) bersama Mohd Firdaus menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi pada Anugerah Media Asia 2017.
Yusri (kanan) bersama Mohd Firdaus menunjukkan pingat gangsa yang dimenangi pada Anugerah Media Asia 2017.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Harian Metro terus unggul apabila memenangi pingat gangsa pada Anugerah Media Asia 2017 anjuran Persatuan Akhbar dan Penerbit Akhbar Dunia (WAN-IFRA) dalam majlis yang diadakan di ibu negara, sebentar tadi.

Kemenangan itu diraih menerusi laporan penyamaran sebagai nelayan bagi meninjau pulau memproses dan menyimpan dadah di perairan Trang, Thailand.

Pingat gangsa itu dimenangi bagi kategori Laporan Pembongkaran Berita Kandungan Editorial edisi ke-16 anugerah berkenaan, tahun ini.

Laporan bersiri bertajuk Pulau Naga Merah yang mula disiarkan pada 27 April 2016 itu diketuai Pengarang Berita Kanan, Yusri Abd Malek dan wartawan, Mohd Firdaus Ibrahim menjadi pilihan juri anugerah berprestij itu.

Ini adalah kali kelima Harian Metro diiktiraf WAN-IFRA kerana akhbar ini memenangi pingat perak pada 2016 dan gangsa pada tahun sebelumnya.

Harian Metro juga memenangi pingat gangsa bagi kategori Penerbitan Tablet Terbaik menerusi majalah interaktif Zon Interaktif Persona (ZIP) pada tahun lalu.

Pada 2014, program Titipan Kasih Harian Metro turut dipilih memenangi pingat perak kategori Anugerah Khidmat Masyarakat Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 10:39 PM