Yusri Abdul Malek


Manila: Penyiasatan lebih dua bulan membongkar kegiatan sindiket penjualan bayi membawa akhbar ini menerima pengiktirafan apabila memenangi pingat perak pada Anugerah Media Asia 2016 anjuran Persatuan Akhbar dan Penerbit Akhbar Dunia (WAN-IFRA) di Taman Kota Santiago di sini, malam tadi.

Harian Metro memenangi kategori Laporan Pembongkaran Berita Terbaik dalam Kandungan Editorial Terbaik edisi ke-15 anugerah berkenaan tahun ini.

Laporan bertajuk ‘Pasar Bayi’ diketuai Pengarang Berita Kanan dan Unit Khas, Yusri Abdul Malek dan empat wartawan lain iaitu Amir Abd Hamid, Mohd Firdaus Ibrahim, Suraya Roslan dan Fardy Bungga memenangi hati juri anugerah berprestij itu.

Dalam laporan April tahun lalu itu, Harian Metro bekerjasama dengan Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman menumpaskan sindiket berkenaan dengan tertangkapnya seorang wanita selain menyelamatkan 21 wanita mengandung serta seorang bayi perempuan.

Sindiket dipercayai berselindung di sebalik rumah kebajikan remaja terlanjur yang menawarkan bayi untuk dijual pada harga RM9,500 melalui Facebook.

Wartawan Harian Metro mengambil masa lebih dua bulan untuk meyakinkan suspek bagi melakukan rundingan jual beli seorang bayi yang sudah ditempah di dalam perut ibu kandung.

Selain itu, Berita Harian turut meraih pingat perak kategori pemasaran akhbar melalui Anugerah Bintang Popular manakala dalam kategori Anugerah Foto Sukan Terbaik akhbar sama menerusi jurugambar Osman Adnan menerima pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:31 PM
LAPORAN kegiatan sindiket penjualan bayi yang diterbit dalam Harian Metro.
LAPORAN kegiatan sindiket penjualan bayi yang diterbit dalam Harian Metro.
(Dari kanan) Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohammad Azlan Abdullah; Yusri; dan Eksekutif Pemasaran NSTP, Y K Wong selepas menerima hadiah di Manila.
(Dari kanan) Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Mohammad Azlan Abdullah; Yusri; dan Eksekutif Pemasaran NSTP, Y K Wong selepas menerima hadiah di Manila.
YUSRI bersama anugerah yang dimenang.
YUSRI bersama anugerah yang dimenang.