Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa. FOTO ihsan bomba
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Jelebu: Pemandu lori maut, kelindannya parah apabila lori bermuatan tong gas yang dipandu melanggar tembok sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter di Jalan Seremban-Bukit Tangga, berhampiran Jeram Toi, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Jelebu Shahrul Nizam Abdul Rahim berkata, mangsa yang maut adalah Muhammad Nazri Mat Rejab, 32, manakala yang parah, Rozainal Nasution, 29.

Katanya, dalam kejadian 10.55 pagi itu, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar tong gas ke premis di daerah ini.

“Lori dipandu Muhammad Nazri hilang kawalan sebelum melanggar tembok di kiri jalan dan terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter.

"Rozainal tercampak keluar dari kenderaan manakala rakannya tersepit di dalam lori yang terjunam ke dalam gaung," katanya.

Menurutnya, Muhammad Nazri meninggal dunia di tempat kejadian dan pihaknya yang tiba di lokasi pada 11.12 pagi mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jelebu Asisten Superintendan Nordin Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 2:41 PM