KEADAAN 4WD dinaiki kedua mangsa yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter dan tersangkut pada sepohon kayu dalam kemalangan di Jalan Melinau-Mujong Baleh di Kapit petang semalam.  FOTO Erika George
KEADAAN 4WD dinaiki kedua mangsa yang terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter dan tersangkut pada sepohon kayu dalam kemalangan di Jalan Melinau-Mujong Baleh di Kapit petang semalam. FOTO Erika George
Erika George


Kapit: Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa hampir 20 jam untuk mengeluarkan mayat warga emas yang tersepit dalam trak pikap terjunam ke dalam gaung sedalam 20 meter di Jalan Melinau-Mujong Baleh di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Erwandy Tugor berkata, penumpang yang maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala itu dikenali sebagai James Kanyan, 60.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam, kenderaan dipandu lelaki berusia 62 tahun itu dikatakan terbabas dan terjunam ke gaung.

"Pemandu berjaya dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang ramai yang lalu di laluan jalan balak berkenaan.

"Namun mangsa yang meninggal dunia gagal dikeluarkan kerana tersepit dalam Toyota Hilux disebabkan keadaan cerun yang berbahaya ditambah faktor hari hampir gelap," katanya.

Menurutnya, keadaan diburukkan lagi dengan kedudukan kenderaan itu yang tersangkut pada pokok dan dibimbangi boleh tergelincir lebih jauh ke dalam gaung sekiranya tidak mempunyai peralatan yang sesuai.

Katanya, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada jam 10.30 pagi tadi selepas kenderaan itu berjaya ditarik naik dengan menggunakan jentera berat.

Mayat diserahkan kepada polis dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kapit untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 6:45 PM