ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18.6 Lebuhraya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (LATAR) dekat Rawang, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18.6 Lebuhraya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (LATAR) dekat Rawang, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga emas maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam gaung di Kilometer 18.6 Lebuhraya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (LATAR) dekat Rawang, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa Lee Kwai Leong, 69, yang menetap di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa memandu seorang diri dari arah Rawang menghala ke Kuala Selangor.

“Sebaik tiba di lokasi, kereta BMW dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tembok pembahagi jalan dan terbabas ke kiri jalan menyebabkan kenderaan itu terjunam ke dalam gaung sedalam lapan meter.

“Kemalangan itu menyebabkan kereta itu terbalik dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala,” katanya ketika dihubungi.

Azman berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 10.25 pagi.

“Seramai tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Arang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan beberapa minit kemudian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 6:24 PM