ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan bomba
Adnan Ibrahim


PEMANDU lori maut selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam gaung di Kilometer 35.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Kulai, jam 4.35 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, Mohd Zainuri Tompang, 44, yang memandu treler dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa terlelap menyebabkan treler dipandu hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 25 meter.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan anggota Bomba dan Penyelamat Kulai dipanggil untuk mengeluarkan mangsa.

“Mangsa yang parah di badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan sebelum dirujuk ke Hospital Kulai untuk proses bedah siasat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beng Yeow berkata, mangsa yang berasal dari Klang, Selangor memandu tanpa membawa kelindan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 11:35 AM