Azira Shafinaz.
Azira Shafinaz.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Dia berhak dapat kebahagiaan." Demikian kata pelakon dan penyanyi, Azira Shafinaz yang turut mendoakan agar pelakon yang pernah digosipkan bercinta dengannya, Sharnaaz Ahmad untuk bertemu jodoh terbaik.

Azira ketika ditemui di set penggambaran filem Syerif berkata, Sharnaaz juga tentunya ingin berkeluarga.

"Sejujurnya, seperti yang pernah saya katakan, saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia. Dengan siapa pun dia berkawan, dia berhak dapat kebahagiaan.

"Dia adalah bapa tunggal, jadi saya yakin, dia juga ada impian untuk berkeluarga. Semoga dia mendapat jodoh yang baik-baik. Insya Allah," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Azira, dia juga rasa tercuit hati apabila selalu diajukan pertanyaan membabitkan dirinya dan Sharnaaz.

"Saya nampak video yang mana ketika dia hadir ke sidang media Polis Evo 3 baru-baru ini. Saya dengan dia pun berkawan. Sebab itulah saya selalu rasa kelakar apabila orang bertanya mengenai perkara ini," katanya.

Tidak pernah lokek untuk menjawab pertanyaan berkaitan hubungan cinta, Azira berkata, dia terbuka sekiranya ada perkara yang perlu dikongsikan.

"Sebagai artis, orang akan tanya soalan begini apabila kita rapat dengan sesiapa pun. Bagi saya sendiri, saya selalu menjaga pergaulan saya.

"Bila saya rasa ada benda untuk dikongsikan, saya akan kongsikan. Kalau orang lain yang bercakap, itu mungkin hanya spekulasi atau itu adalah apa yang mereka mahukan.

"Sebagai seorang artis juga, saya tak boleh nak tutup mulut semua orang. Jadi, saya anggap, tak mengapalah." katanya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan mengenai Sharnaaz yang kini dikatakan sedang berkawan rapat dengan pelakon baharu, Amelia Christie selepas kedua-dua mereka muncul bersama di sidang media dan tayangan perdana filem Polis Evo 3 baru-baru ini.

Azira membintangi filem Syerif arahan pengarah Syafiq Yusof dan membawa watak sebagai pegawai polis bernama Sha.

Selain Azira, filem yang masih dalam proses pembikinan itu turut dibintangi barisan pelakon hebat antaranya, Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Elizabeth Tan dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 3:32 PM