Baru-baru ini ada rakan media mengadu terkilan dengan sikap tidak profesional pelakon tinggi lampai, Miera Liyana.

Katanya, Miera enggan ditemubual ketika mereka membuat liputan drama Nasuha yang berlangsung di Kem Isi Rimba, Kemensah, baru-baru ini.

Pelik juga sebab seingat Sha, Miera peramah orangnya dan antara pelakon yang senang dihubungi dan akan menjawab setiap soalan diajukan.

Berbeza pula kali ini apabila dia seakan-akan tidak sudi gambarnya dirakam dan diwawancara. Dia dikatakan hadir lambat ke lokasi penggambaran itu, pada hal pihak produksi sudah memaklumkan awal yang media datang membuat liputan.

Setiap pelakon diminta berada di lokasi pada tengah hari kerana akan menjayakan fotografi dan ditemubual bagi mempromosikan drama berkenaan.

Apabila rakan media sampai, semua pelakon sudah ada kecuali dia seorang dan hanya tiba di lokasi selepas jam 3 petang dan tergesa-gesa masuk set, walhal ketika itu belum tiba gilirannya.

Rakan media berusaha mendapatkan kerjasamanya dengan bantuan pihak produksi, tetapi Miera tidak peka dan membiarkan media tertunggu-tunggu.

Pada jam 5 petang, rakan media mencarinya di tengah-tengah hutan dan apabila me­nyatakan hasrat mahu menemubual, dia menolak kerana sudah mahu masuk set. Menghormati permintaannya, media pun menunggu lagi.

Namun penantian itu sia-sia belaka. Hingga jam 7 malam batang hidungnya pun tak nampak, sedangkan hari semakin gelap. Hampa dengan sikap Miera, mereka memutuskan keluar dari kawasan itu.

Nak buat macam mana, orang dah tak sudi. Kalau sudi, masakan terpaksa menunggu sebegitu lama sedangkan Tasha Shila dan Fatah Amin yang memegang watak utama tak ada masalah pun beri kerjasama. Itu yang Sha dengar daripada rakan yang membuat liputan penggambaran drama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:04 AM