ANTARA babak menarik dalam telefilem Penjaga Hati.
ANTARA babak menarik dalam telefilem Penjaga Hati.
Oleh Nor Akmar Samudin

Amalan bersedekah dan keberkatan daripada perbuatan baik itu menjadi tema utama dalam jalan cerita telefilem yang berjudul Penjaga Hati, lakonan pasangan suami isteri, Adam Af dan Fiza.

Menurut penerbit drama itu, Yaya Abu Bakar, dia mendapat idea untuk menghasilkan telefilem itu berdasarkan amalan bersedekah selepas dia membaca buku berkaitan perkara itu. Lantas dia bertemu dengan penulis skrip, Zuli Ismail untuk menzahirkan segala pemahamannya dan kebaikan bersedekah dalam satu telefilem.

Telefilem terbitan Qaisworks Sdn Bhd diarahkan Bade Azmi itu disiarkan di TV AlHijrah, jam 10 malam, esok.

Ia mengisahkan Amir (Adam Af) seorang usahawan yang sedang menuju kemuncak kejayaan dalam perniagaan yang diusahakannya. Walaupun pekerjanya hanya enam orang, namun syarikatnya terus maju.

Amir adalah ketua keluarga yang bertanggungjawab dan mempunyai isteri bernama Hanis (Fiza) yang banyak membantu dan memberi semangat kepadanya. Hanis adalah tulang belakang Amir dalam kerjayanya dan juga di rumah. Pengorbanan Hanis menjaga dan mendidik empat anak mereka sangat dihargai Amir.

Dalam pada itu, sifat Amir yang rajin ke surau dan suka bersedekah meluaskan lagi rezeki perniagaan Amir. Saban hari kehidupan mereka semakin senang dan Amir berjaya membeli rumah yang lebih besar untuk keselesaan isteri dan anaknya. Berbeza pula dengan Hanis yang selalu mempertikaikan jumlah sedekah yang disumbangkan Adam kepada masjid kerana baginya lebih baik Adam memperuntukan sebahagian daripada wang sedekah itu untuk perbelanjaan mereka sekeluarga.

Suatu hari terjadi sesuatu pada Hanis sehingga memberi kesedaran kepadanya kepentingan bersedekah dan balasan baik yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka yang rajin bersedekah. Untuk mengetahui apakah yang menyebabkan Hanis insaf dan bertaubat atas sikapnya selama ini, jangan lupa untuk menonton telefilem ini, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:08 PM