BERJAYA turunkan berat badan.
BERJAYA turunkan berat badan.
Oleh Nor Akmar Samudin


Selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, pasangan selebriti Adam AF, 32 dan Fiza, 34, masih belum dikurniakan cahaya mata.

Namun, mereka tidak pernah berputus asa untuk mencuba dan terus bersabar. Pelbagai ikhtiar dilakukan termasuk menjalani ujian kesihatan.

“Mungkin belum ada rezeki kami untuk menimang cahaya mata. Kami juga pernah berjumpa doktor untuk menjalani ujian dan doktor mengesahkan kami sihat serta tidak mempunyai masalah mendapatkan anak,” kata Adam.

Menurut Adam, pertengahan tahun lalu Fiza keguguran ketika kandungan memasuki minggu kelapan.

“Walaupun ia bukan rezeki kami, tetapi saya bersyukur kerana tiada apa yang serius berlaku kepadanya,” katanya.

Bercerita mengenai kerjayanya yang agak suram kebelakangan ini, bekas peserta Akademi Fantasia (AF) itu berkata, peminat sendiri tertanya-tanya ke mana perginya dia.

Jika ada berita yang keluar hanyalah mengenai rumah tangganya sejak mula berkahwin dengan Fiza, kemudiannya bercerai dan akhirnya mereka rujuk semula.

“Memang tidak dinafikan, sudah lama tiada cerita berkaitan kerjaya nyanyian. Saya bukan berhenti menyanyi, bahkan perancangan kembali aktif dibuat sejak tahun lalu.

“Tahun ini, saya tampil dengan single terbaru berunsur ketuhanan berjudul Mendekati. Ia dicipta saya sendiri dan tersimpan sejak tahun lalu, tetapi sengaja saya tidak merakamkannya.

“Jika diterbitkan juga, saya harus memberi komitmen sepenuhnya kepada projek itu sedangkan ketika itu saya terikat dengan komitmen lain yang tidak membabitkan bidang seni,” katanya.

Menurut Adam, lagu itu berbeza kerana kali pertama dia menerapkan elemen kerohanian dalam liriknya. Namun, konsep muziknya masih sama seperti mana peminat mengenali lagunya sebelum ini.

Walaupun masih menyanyikan lagu komersial berteraskan tema cinta, tetapi dia juga harus melihat kepada faktor usia dan kematangan dalam pemilihan lagu.

“Justeru, ia memberikan inspirasi kepada saya untuk menghasilkan lebih banyak lagu yang dapat menyalurkan manfaat kepada pendengar,” katanya.

Kembali dengan KRU

Keputusan untuk kembali aktif bermula dengan single Mendekati sebagai pengenalan, Adam turut mempunyai projek besar bersama KRU Music dalam masa terdekat.

“Edry Abdul Halim ada memberi satu lagu yang cukup istimewa kepada saya. Ia mengisahkan kehidupan saya sejak awal pembabitan nyanyian hingga hari ini. Konsepnya juga memerlukan saya kembali menyanyi sambil menari.

“Saya percaya dengan kelebihan yang ada, peminat akan menerima saya. Mereka ingin menyaksikan saya beraksi di pentas dengan gaya penampilan, nyanyian dan tarian tersendiri,” katanya.

Adam berkata, konsep itulah yang diketengahkan dalam album terbarunya Adam 5 yang dipasarkan tahun depan.

Bagi merealisasikan pembikinan album itu juga, Adam yang berat badannya naik selepas berkahwin berjaya menurunkan dari 90 kilogram (kg) kepada 80 kg,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 9:07 AM