FATHIA dan Afiq cepat mesra di lokasi penggambaran.
FATHIA dan Afiq cepat mesra di lokasi penggambaran.
SHARIFFA Zainab (berdiri empat dari kanan) bersama kru dan pelakon di lokasi penggambaran.
SHARIFFA Zainab (berdiri empat dari kanan) bersama kru dan pelakon di lokasi penggambaran.
Nor Akmar Samudin


Drama bersiri Menanti Februari yang kini sedang bersiaran di slot Samarinda (TV3) setiap Isnin hingga Rabu pertama kali menggandingkan Nur Fathia dan Zul Ariffin sebagai pasangan suami isteri.

Pastinya gabungan teraju utama drama Rindu Awak 200% dan Ariana Rose itu akan menyentap emosi penonton.

Sehubungan itu, bagi menghasilkan penerbitan yang berkualiti dan menepati selera penonton yang sukakan drama cinta dan air mata, penerbitnya Shariffa Zainab Syed Wadzid Ali memperuntukkan bajet yang agak besar untuk pembikinan drama ini.

Drama 16 episod arahan Ayie Mustafa ini memulakan penggambaran pada November tahun lalu dan Langkawi adalah antara lokasinya.

Shariffa berkata, rombongan mereka bertolak ke pulau legenda itu pada Disember iaitu musim cuti persekolahan. Dalam masa sama, semua hotel dan tempat penginapan sudah penuh.

“Penggambaran tidak boleh ditangguhkan kerana jadual Zul sudah penuh. Ketika musim cuti sekolah, memang sukar untuk mendapatkan penajaan di Langkawi dan semua lokasi yang diperlukan untuk penggambaran mesti dibayar.

“Disebabkan itu bajet untuk penggambaran drama ini lebih daripada yang sepatutnya, tetapi saya tidak boleh membuang mana-mana babak untuk memastikan kelancaran jalan ceritanya dan tiada adegan yang ‘melompat-lompat’.

“Walaupun saya terpaksa berbelanja besar, setiap pengorbanan itu amat berbaloi. Saya tidak mahu berkompromi mengenai kualiti bagi meraih kepercayaan stesen televisyen. Untuk drama ini juga saya bertuah dapat ‘menyatukan’ Zul dan Fathia. Saya yakin kehebatan mereka membawakan watak romantik dan air mata mampu membuatkan penonton terus terpaku di depan televisyen,” katanya.

Menurut Shariffa, dua drama terbitan Sha’s Media sebelum ini iaitu Penjara Seorang Isteri dan Menongkah Kasih pernah tercalon dalam Anugerah Skrin 2016.

Jadi, dia berharap Menanti Februari akan mengulangi kejayaan kedua-dua drama itu.

Sementara itu, Ayie berkata, penggambaran Menanti Februari turut dilakukan di sekitar ibu kota dan Tapah, Perak.

“Di Tapah, penggambaran dilakukan di perkampungan Orang Asli. Agak terkejut juga apabila Tok Batin di kampung itu meminta bayaran.

“Lokasi itu untuk babak Zul hilang di laut dan selepas beberapa bulan dia dijumpai di perkampungan Orang Asli. Penggambaran di situ mengambil masa tujuh hari,” katanya.

Sinopsis

Menanti Februari mengisahkan tiga rakan karib iaitu Arie (Zul Ariffin), Fiza (Fathia Latiff) dan Edi (Afiq Muiz).

Arie dan Edi bersama-sama menaruh hati terhadap Fiza. Atas ketentuan jodoh, Fiza berkahwin dengan Arie menyebabkan Edi memendam rasa.

Namun, kebahagiaan yang diharapkan Fiza tidak kesampaian apabila Arie terlalu taksub dengan kerjanya sehingga mengabaikan perasaan Fiza.

Bagaikan satu kebetulan, segala kejadian manis dan peristiwa pahit antara Arie dan Fiza berlaku dalam bulan yang sama iaitu Februari. Bagaimanapun takdir penentu segalanya apabila Arie hilang dalam satu kemalangan di laut dan dikhuatiri sudah meninggal dunia.

Sepanjang ‘kehilangan’ Arie itu, Fiza dan Edi menjadi semakin rapat hingga mereka disatukan sebagai suami isteri.

Namun, kebahagiaan yang dikecapi Fiza dan Edi tidak lama apabila tiba-tiba Arie ditemui selamat. Namun, dia terpaksa menghadapi situasi yang Fiza sudah berkahwin dengan Edi.

Bagaimanapun, Arie tetap mahukan Fiza kembali kepadanya kerana dia ingin menebus semula segala kesalahannya terhadap Fiza.

Adakah cinta mereka akan bersatu semula? Ikuti siaran drama 16 episod ini, di slot Samarinda TV3, setiap Isnin hingga Rabu, jam 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 4:56 AM