Mark berkongsi kesedihan pemergian Allahyarham Fiza di Instagram (IG). Foto IG Mark Adam
Mark berkongsi kesedihan pemergian Allahyarham Fiza di Instagram (IG). Foto IG Mark Adam
Farihad Shalla Mahmud


Kuala Lumpur: Tatkala mendapat perkhabaran wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, meninggal dunia di London, United Kingdom (UK), pada 26 Disember lalu, Mark Adam cukup sedih.

Bagi Mark, Allahyarham Siti Nor Hafiza atau lebih akrab disapa Fiza, bukan sahaja sahabat media buatnya, malah, sudah dianggap seperti ahli keluarga sendiri berikutan keperibadian dimiliki arwah.

"Saya mula kenal arwah ketika mula-mula menceburkan diri dalam bidang seni. Selalu nampak arwah hadir pada acara hiburan. Biarpun persahabatan kami bermula sebagai artis dan media, lama-kelamaan, saya anggap dia seperti keluarga sendiri.

"Cara arwah membawa diri dan menjaga silaturahim membuatkan saya dan isteri berasa selesa. Arwah ada aura yang buat orang suka untuk berkawan dengannya.

"Arwah memang rapat dengan isteri saya. Sepanjang mengenalinya, arwah sangat baik dan sentiasa berfikiran positif. Pendek kata, tidak ada perkara buruk yang kita boleh cakap mengenai dirinya.

"Justeru, apabila kami dapat tahu Fiza meninggal dunia, kami amat sedih,' katanya.

Biarpun sudah lama menjalin persahabatan, namun, Mark yang meledak menerusi lagu Pencuri itu memberitahu, dia tidak tahu Allahyarham Fiza menghidap penyakit kanser yang meragut nyawanya.

"Apabila dapat tahu mengenai penyakitnya itu, saya sangat terkejut. Saya tidak tahu arwah menghidap kanser. Tetapi, isteri saya tahu lebih awal kerana arwah pernah berkongsi mengenai penyakit dideritainya itu.

"Saya sangat kagum dengan ketabahan arwah melawan penyakitnya itu. Membaca kisah Kak Fiza ketika di hujung hayat, hati saya tersentuh terutama apabila terkenangkan kata-katanya mengenai mengapa dia teringin bercuti di luar negara bersama keluarga.

"Arwah seorang pejuang dan hingga ke penghujung usia, beliau melawan penyakitnya itu demi suami dan anak-anak," katanya yang turut hadir pada majlis pengebumian Allahyarham Fiza.

Sementara itu, Mark atau nama penuh, Fikri Mark Adam Abdullah menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Fiza dan mendoakan agar mereka tabah menghadapi ujian Allah SWT.

Selepas seminggu, jenazah Allahyarham Fiza yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Charing Cross di London, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, Selangor, pada kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam.

Terdahulu, industri kewartawanan tanah air berduka selepas dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham yang meninggal dunia di London ketika bercuti di sana akibat pendarahan otak.

Allahyarham yang bertugas sebagai editor portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, ketika menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti selama dua minggu sejak pertengahan Disember lalu.

Allahyarham juga bekas pesakit kanser payudara, namun sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit tersebut.

Lebih memilukan, percutian yang dirancang ke London kali ini adalah hajat terakhir Allahyarham bagi menunaikan janji bersama anak iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 3:47 PM