IRMA.
IRMA.
Oleh Nor Akmar Samudin

Sudah tiga tahun Irma Hasmie Ibrahim, 34, tidak berlakon kerana kesibukannya sebagai isteri, ibu dan penyampai program Assalamualaikum yang bersiaran di TV AlHijrah dan memenuhi undangan berceramah.

Jelas Irma apabila penerbit Assalamualaikum memberinya jadual siaran, dia akan terus menyusun rutin hariannya.

“Sudah empat tahun saya mengendalikan Assalamualaikum. Bersiaran dari jam 8 hingga 10.30 pagi mengehadkan langkah saya.

“Saya suka mengacara kerana ia tidak mengambil masa lama jika dibandingkan dengan berlakon,” katanya.

Sesekali ibu kepada dua cahaya mata itu masih ditawarkan berlakon, namun dia akan melihat kesesuaian watak, masa dan lokasi.

“Jika penggambaran itu memerlukan saya berada di luar daerah, saya akan menolak kerana anak menjadi keutamaan kini. Saya mahu melihat mereka membesar depan mata.

“Masa pantas berlalu dan saya tidak mahu berjauhan dengan mereka,” katanya.

Sambung Irma, baru-baru ini dia menyambut tawaran telefilem berjudul Abi terbitan Qaisworks Sdn Bhd yang bakal ditayangkan di TV AlHijrah pada April ini.

Memahami situasi Irma yang lebih mengutamakan keluarga dan tugasan di TV AlHijrah, pengarah telefilem itu, Brother Hud (Salahudin Sam) mengatur rapi jadual penggambaran yang membabitkan pelakon dan pengacara cantik itu.

“Saya berterima kasih kepada penerbit dan pengarah kerana hanya perlu berada di lokasi sehari saja.

“Kebetulan penggambaran 18 babak itu dilakukan di sebuah kediaman di Bukit Jelutong, Shah Alam yang berhampiran rumah saya. Jadi tak ada alasan untuk saya tolak tawaran ini,’ katanya.

Menurut Irma sejak berhijab, bergelar isteri dan ibu, dia semakin jarang mengikuti perkembangan industri hiburan tempatan.

“Saya jarang ambil tahu gosip dan kontroversi rakan-rakan artis. Saya juga tidak berapa kenal pelakon baru,” katanya.

Irma yang juga duta satu jenama tudung turut mengusahakan butik pakaian Muslimah Debumas di Shah Alam.

“Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan kini. Tiada apa lagi yang perlu dikejar. Fokus saya kini adalah berikan didikan dunia akhirat yang sebaik-baiknya kepada anak.

“Cabaran mendidik anak hari ini berbeza ketika saya kecil dulu. Membesarkan mereka tidak lagi boleh menggunakan cara orang tua kita dulu sebaliknya kena lebih berdiplomasi.

“Bekerja di TV AlHijrah memberi kelebihan apabila sering berdamping dengan ustaz dan ustazah yang membolehkan saya mendalami banyak ilmu agama serta mendidik anak,” katanya.

Irma dan suaminya, Redza Syah Azmeer, mahu membesarkan dua anak mereka, Redza Syah Irfhan dan Irma Nur Naylie mengikut cara Rasulullah SAW termasuk adab makan, berpakaian dan bermain.

“Sebagai ibu bapa, kami mahu berikan yang terbaik untuk Irfhan dan Naylie,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:03 AM