Oleh Ramlah Zainal


Jika pelakon seusianya menolak melakonkan watak wanita berusia dalam drama mahupun filem ia sebaliknya bagi pelakon Fiza Elite. Bagi pemilik nama sebenar, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, 33, sebagai pelakon, setiap watak yang diserahkan adalah tangggungjawab atau amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Antaranya, watak ibu lakonannya dalam drama Hello Mr Perfect yang diterajui pelakon Fattah Amin dan Ruhainies. Menerusi drama untuk slot Akasia TV3 yang berakhir semalam itu, Fiza bergandingan dengan Eizlan Yusuf sebagai pasangan suami isteri dan memiliki anak berusia 20 tahun.

“Saya akui ramai komen saya tidak sesuai bawa watak ibu kepada Fattah kerana masih muda.

“Namun, saya tidak ada masalah bawa watak itu kerana dalam kehidupan sebenar sudah berumah tangga dan mempunya dua anak perempuan. Naluri keibuan memang sudah ada dalam diri saya.

“Cabaran saya adalah perlu nampak matang. Penampilan juga perlu sesuai dan tidak boleh sama dengan watak sebelumnya,” katan Fiza.

Fiza berharap lakonannya dalam drama Hello Mr Perfect itu dapat mengubah persepsi penonton bahawa pelakon muda sepertinya juga boleh melakonkan watak ibu dengan baik.

“Saya anggap setiap watak yang diberikan adalah rezeki daripada Allah SWT. Bagi saya, watak ibu bukan hanya boleh dilakonkan pelakon berusia sahaja.

“Lagipun tidak semestinya watak ibu perlu nampak tua dan berpakaian lusuh dalam drama. Realitinya, ramai ibu pada zaman sekarang sudah moden dan pandai bergaya supaya nampak cantik serta awet muda.

“Ramai juga ibu berkahwin pada usia muda dan memiliki anak yang hampir sebaya dengannya. Contohnya, bila saya keluar berjalan dengan emak, ramai fikir kami adik-beradik,” katanya seraya menegaskan pelakonlah yang harus pandai mencorakkan watak.

Meskipun dilemparkan kritikan pedas, Fiza tidak ambil hati, malah melihat perkara itu dari sudut positif.

“Sebagai pelakon, kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Sebagai pelakon, saya kena sahut apa saja cabaran watak demi kelangsungan karier. Kritikan dan komen negatif sama sekali tidak mematahkan semangat saya.

“Sesuai atau tidak saya melakonkan watak ibu, itu bergantung kepada stesen TV. Kalau mereka tidak suka pasti saya tidak dapat watak itu,” katanya.

Pada masa sama, Fiza menafikan dakwaan dirinya sudah bersara dari bidang lakonan selepas berumah tangga.

“Ada segelintir pihak mendakwa saya sudah berhenti berlakon walhal ia tidak benar sama sekali. Lakonan sudah sebati dengan diri saya sejak dulu.

“Saya bersyukur kerana masih ada produksi yang sudi menawarkan saya kerja. Terbaru, saya menjayakan drama Anakku Diva terbitan produksi JS Pictures Sdn Bhd,” katanya.

Suami restu sambung belajar

Fiza percaya pendidikan memainkan peranan penting dalam mencapai misi menjadi anak seni yang berilmu. Justeru, dia tidak melepaskan peluang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk sesi Oktober 2015 menerusi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ).

“Saya harap dapat mengembangkan bakat sebagai penerbit dan pengarah menerusi ilmu yang dipelajari nanti. Selain itu, saya juga ingin tahu selok-belok belakang tabir.

“Apabila menyambung pengajian, rutin harian saya semakin padat. Jadi kenalah pandai bahagikan masa agar semua bergerak seiring,” katanya.

Lebih bermakna, kata isteri kepada penyanyi Adam (AF2), dia mendapat restu suami mengikuti pengajian di UUM.

“Suami menyokong 100 peratus hasrat saya menyambung pengajian kerana ia penting untuk masa depan kami nanti,” katanya.

Mengenai karier nyanyian pula, anggota kumpulan Elite ini berkata akan terus menyanyi sekiranya diberi peluang.

“Sebenarnya, saya sudah ada satu lagu baru yang disimpan sejak dua tahun lalu. Namun, apabila sudah berhijab kenalah tukar konsep dan lirik lagu itu.

“Kalau ada penyanyi ingin berduet dengan saya apa salahnya asalkan bersesuaian dengan konsep. Saya memang teringin hendak menyanyi semula cuma belum ada rezeki lagi. Insya-Allah, saya juga ingin berdakwah menerusi nyanyian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, dia merancang menceburi bisnes tudung pada masa depan.

“Ramai peminat bertanya mengenai tudung dan anak tudung yang saya pakai. Memang ada perancangan menghasil­kan tudung dan masih mencari material sesuai.

“Dalam drama Hello Mr Perfect misalnya, peminat bertanya anak tudung yang saya pakai. Memang banyak permintaan dari peminat. Justeru, saya merancang mengeluarkan 50 helai anak tudung dagu, Feyarra by Fiza Halim yang menepati syarak seperti yang dipakai dalam drama berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 8:15 AM