Pemprosesan, grafik bantu Inspiron.
Pemprosesan, grafik bantu Inspiron.
Oleh Afiq Hanif


Laptop Dell Inspiron 15 3000 berwarna kelabu sudah pasti menjadi peranti yang padan jika anda mahu menonton video.

Mana tidaknya, Inspiron 15 3000 dengan saiz skrin 15.6 inci pasti sesuai untuk pengguna yang mementingkan skrin ketika menonton filem kegemaran dalam laptop yang lebih besar berbanding produk pesaingnya.

Bagaimanapun, penguji kurang gemar dengan tahap bebanan 2.4kg yang agak berat untuk dibawa ke mana-mana.

Mudah cakap, kalau anda memiliki laptop begini, ia boleh ditempatkan saja di meja kerja seakan PC desktop.

Tetapan pemprosesan Intel Core i5 dan grafik NVIDIAÆ GeForceÆ 820M 2GB DDR3 banyak membantu melancarkan operasi laptop yang berada di pasaran ini.

Ia ditetapkan dengan paparan 1,366 x 768 piksel Truelife LED Backlit yang menawarkan warna serta butiran imej yang baik malah ketika menonton filem bersama dua orang sekali gus tidak mendatang kan masalah melihat perincian filem terbabit.

Malah, sistem audio Waves MaxxAudio 4.0 jelas membantu menaikkan kualiti hiburan dalam laptop ini.

Dari aspek sentuhan, meskipun ia mempunyai 10 ‘point’ sentuh seperti yang digembargemburkan, Dell Inspiron ini agak kurang responsif ketika penguji menyentuh beberapa aplikasi dalam Windows 8 yang disediakan.

Penguji percaya, ia lebih kepada masalah perkakasan berbanding perisian.

Penguji sedikit gembira dengan paparan kekunci yang sensitif walaupun anda mungkin terpaksa ‘mengetuknya’ lebih sedikit berbanding biasa tetapi ia bukan masalah serius.

Penguji agak kagum dengan tahap panas yang tidak dirasakan ketika menonton video bagi tempoh agak lama.

Biasanya, selepas 20 minit menonton filem, kebanyakan laptop lain mula panas di bahagian bawah, namun penguji tidak melihat sebarang masalah pada Inspiron 14R.

Laptop ini mempunyai susunan port yang lengkap dan mengejutkan ia masih mengekalkan pemain DVD yang mungkin menyumbang kepada salah satu sebab mengapa ia bersaiz lebih besar.

Port lain disediakan termasuk dua USB 3.0, HDMI, Ethernet, slot keselamatan, fon telinga dan jek kuasa.

Menarik juga apabila laptop ini tahan panas meskipun anda meninggalkannya dalam but kereta sehari suntuk selama beberapa hari (memandangkan kes jenayah yang kerap berlaku, anda dinasihatkan tidak mengekalkan tabiat meninggalkan barang berharga dalam kenderaan).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 1:26 PM