3 ciri Acer Aspire S 13 buat pengguna tersenyum puas.
3 ciri Acer Aspire S 13 buat pengguna tersenyum puas.
Afiq Hanif


Nipis, ringan dan mempunyai bateri tahan lama menjadi ciri laptop yang paling dikehendaki.

Nasib baik, ia ditawarkan pada Acer Aspire S 13 yang bersaiz 13 inci dan mempunyai pemprosesan Intel Core i5-6200U bersama CPU 2.3GHz dan RAM 4GB.

Acer patut mendapat pujian kerana tidak cuba meniru rekaan Apple Macbook seperti sesetengah jenama lain dan menampilkan ciri rekaan yang mempunyai identiti tersendiri.

Ia tampak menawan dengan warna hitam dan bahagian atas dengan garisan nano nipis yang menjadikannya kemas dan berestetik.

Bahagian yang mengelilingi papan kekunci direka berdasarkan aluminium manakala bahagian bawah sedikit bergetah dengan sentuhan lembut.

Laptop ini senipis 14.58mm yang bukan saja sesuai untuk pekerja, namun pelajar atau individu yang kerap mengembara memerlukan peranti benar-benar ringan dan mudah dimuatkan dalam beg.

Kebanyakan port pula lengkap seperti USB 3.0, slot kad SD dan jek headphone/mic di sebelah kiri manakala HDMI, satu lagi USB 3.0 dan USB Type-C.

Aspire S 13 yang penguji peroleh tidak mempunyai skrin sentuh dengan paparan jenis 1080p dan menonton siri atau filem dalam laptop ini memang terbaik dan mengagumkan.

Tanpa lag ketika menonton (bantuan Internet yang laju juga) membolehkan setiap aksi terpapar hebat di skrin.

Ujian warna gamut pada laptop ini menyaksikannya memperoleh 107 peratus yang agak jauh meninggalkan beberapa pesaing termasuk nama besar.

Menonton di bawah terik matahari pun boleh kerana tahap kecerahannya mencapai 327 nit, jadi bukan masalah besar.

Kuasa Dolby Audio memang mampu menambah semangat menggunakan laptop ini meskipun ia nipis. Ia menawarkan beberapa jenis audio seperti muzik, filem, game atau suara tetapi tetapan ‘default’ pun sudah mencukupi.

Menaip dengan papan kekunci memang selesa dan ia bercahaya pada persekitaran gelap, jadi anda masih nampak apa yang ditaip.

Secara keseluruhan, penguji menggalakkan anda membeli laptop ini jika anda sedang mencari sebuah unit kerana ia lengkap untuk segala-galanya.

Oh ya, sebelum terlupa, penguji mendapati laptop ini mampu bertahan lapan jam dengan sekali cas, hebat kan?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 5:47 AM