Oleh Afiq Hanif


Meskipun Microsoft sudah mengumumkan tablet terbaru mereka, anda mungkin ingin membeli versi lama Surface yang dijangka mengalami penurunan harga tidak lama lagi.

Surface 3 berjaya diuji dan ia berkeupayaan tinggi untuk melakukan kerja pejabat setaraf laptop, tiada yang dapat menandingi kekuatan perkomputerannya.

Maklumlah, kerja pejabat memerlukan mesin dan perisian baik seperti Office yang dikeluarkan Microsoft sendiri jadi memang padanlah gabungan kedua-duanya dalam Surface 3.

Penguji yang memperoleh model Surface 3 ditetapkan pada Windows 8, tetapi penguji mengemas kini kepada Windows 10 dan ia beroperasi dengan agak baik.

Ia mempunyai berat 622 gram saja yang memang ringan untuk kegunaan harian, sedikit ringan berbanding dengan iPad seberat 652 gram dan tebal 8.7mm.

Pada masa sama, ia menggunakan paparan ClearType HD 10.8 inci di samping kelengkapan port USB 3.0 dan microSD untuk pilihan penyambungan.

Walaupun Surface 3 lebih murah berbanding versi Pro, ia tetap dibangunkan dengan rekaan premium yang sama seperti Surface 3 Pro.

Ia menggunakan badan aloi magnesium yang ringan dan kukuh.

Antena 2/2 MIMO memberikan keupayaan WiFi yang lebih baik berbanding tablet lain.

Kekuatan skrinnya terpapar pada Gorilla Corning Glass dengan kelengkapan kamera bersudut 22 darjah yang dikatakan sebagai kemudahan individu di meja dimuatkan dalam skrin tablet ketika sidang video dilaksanakan.

Penguji mencuba sidang video Skype dan mendapati kualitinya jika menggunakan sambungan WiFi boleh tahan serta jelas manakala rakan sidang video boleh melihat mimik wajah penguji ditambah dua mikrofon dan pembesar suara.

Rekaan mekanikal untuk membolehkan Surface 3 berdiri wajar dipuji walaupun ia agak ringkas.

Ia boleh dikeluarkan di bahagian belakang yang dipasang bersama pada tablet sebelum anda menutupnya kembali dengan mudah selepas digunakan.

Tetapi ia juga bermakna pengguna boleh menentukan satu arah saja jika penutup yang mendirikan Surface dibuka.

Keupayaan sambungan port dalam Surface cukup baik dan disusun kemas. Di sebelah kanan anda akan mendapati port mikro HDMI manakala di sebelah kiri terdapat port USB sebanyak dua slot.

Ia boleh digunakan untuk pelbagai fungsi termasuk cakera keras luaran, tetikus, kamera digital, telefon pintar, malah pencetak yang memudahkan tugas harian anda.

Penguji juga tertarik dengan kesediaan perisian Office yang sudah lengkap dimuatkan membolehkan anda mengakses Word, Excel dan Power-Point dengan mudah tanpa perlu pembelian tambahan.

Menarik juga apabila baterinya bertahan sehingga 10 jam untuk penggunaan yang sangat aktif dan ia sewajarnya dipuji.

INFO

MICROSOFT SURFACE 3

- Pengeluar: Microsoft

- Laman Web: www.microsoft.com/surface/ en-my

- Harga: Bermula RM1,989

- Ciri: Tablet

- Pro: Lengkap dengan Office

- Kontra: Tiada slot kad SD

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 9:58 AM