BenQ W1070+
BenQ W1070+
Oleh Afiq Hanif


Berbeza dengan kaedah menonton filem kegemaran anda pada skrin TV LED atau LCD sebesar 50 inci di rumah, anda mungkin boleh mengevolusikannya dengan menggunakan gajet paling kurang dimiliki iaitu projektor.

Jika televisyen hanya terhad dan memakan ruang yang agak besar terutama di ruang tamu anda, tidak salah menggunakan projektor sebagai medium hiburan boleh dialihkan dan disimpan pada bila-bila masa.

Sudah pasti ia boleh disambungkan dengan pemain media atau ‘setup box’ yang biasa. Apa yang diperlukan hanyalah dinding yang bersih dan suasana sedikit kelam.

Penguji berkesempatan menggunakan projektor jenis BenQ W1070+ yang boleh dikatakan projektor video hiburan yang lengkap.

Apatah lagi ia hadir dengan tembakan cahaya yang memantulkan imej definisi tinggi (HD), prestasi audio yang memukau dan paling utama, mudah dipasang.

Ini bermakna, anda boleh menonton wayang kegemaran di ruang tamu, bilik tidur, pekarangan rumah malah dapur mengikut keselesaan anda.

Projektor W1070+ dilengkapi pelbagai fungsi terkini dengan harga yang rendah (mengikut barisan produk projektor di pasaran).

Penguji sungguh tertarik dengan teknologi seperti ‘Cinema Color Reality’ yang menghasilkan simulasi gamut REC.709 dan BrilliantColor untuk memastikan prestasi gambar yang dipantulkan cahaya nampak asli, autentik dan hidup.

Warna hitam pula kelihatan lebih gelap dan kontras tinggi dihasilkan daripada 2200 ANSI lumen, DLP DarkChip3TM dan DMD cukup untuk cermin mata 3D tambahan.

Betul! Pengguna boleh menikmati terus projeksi 3D HD penuh yang sedia terbina dalam projektor W1070+ ini tetapi penguji kurang berkenan menonton secara 3D, mungkin kerana kurang selesa untuk memakai cermin mata tambahan.

Imej yang dipantulkan projektor nampak hidup dan lebih jelas sekiranya dinding juga berwarna putih.

Wayang gambar tidak akan lengkap tanpa bunyi dan projektor ini dilengkapi pembesar suara 10W dengan resonan ‘chamber’ yang pasti sesuai dengan segala filem, video atau muzik kegemaran bersama empat pilihan set mod audio tersedia dengan tetapan ‘equalizer’ yang boleh diubah suai me­ngikut kesesuaian telinga pengguna.

Bagaimanapun, penguji lebih suka memasang pembesar suara tambahan.

Dengan keupayaan ‘off-center’ pula, projektor boleh ditempatkan di mana sahaja seperti meja kopi di sebelah sofa menonton televisyen.

Sudah pasti, projektor ini mempunyai konsep ‘plug n play’ dan mudah dioperasikan cuma lebih elok sekiranya anda tetap membaca manual yang disediakan.

Dari aspek tembakan, projektor W1070+ memerlukan jarak 2.5 meter untuk menghasilkan paparan 100 inci persegi. Dengan ini, ruang yang kecil dapat memberikan paparan yang besar.

Selain itu, ia menyokong pelbagai sambungan untuk hiburan mudah alih maksimum termasuk MHL sama ada menggunakan kabel atau dongle MHL pihak ketiga bagi ‘stream’ terus kandungan digital daripada perkakasan pintar untuk dipancarkan ke skrin besar.

INFO

BenQ W1070+

- Harga: RM3,999

- Pengeluar: BenQ

- Pertanyaan: BenQ

- Laman Web: benq.com.my

- Ciri: Projektor

- Pro: Sokong MHL

- Kontra: Peralatan menjadi panas selepas menonton agak lama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 11:41 AM